Home Nasional Bahas, lulus segera Rang Undang-Undang Gangguan Seksual

Bahas, lulus segera Rang Undang-Undang Gangguan Seksual

Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun membentangkan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual untuk dibahas dan diluluskan pada sesi Parlimen akan datang.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam kenyataan bersama berkata, RUU Gangguan Seksual satu-satunya cara memastikan wanita dan gadis selamat dan dilindungi.

“Kami juga mendesak supaya RUU Gangguan Seksual yang telah tertangguh sekian lama, segera dibentangkan di dalam sesi Parlimen yang akan datang.

“Kerajaan wajar mengambil inisiatif dengan menyediakan lebih banyak latihan dan kursus mengenai kepekaan gender.

“(Pendedahan) kepada penjawat awam dan pegawai penguatkuasa dari semasa ke semasa agar insiden gangguan seksual tidak lagi berulang,” katanya dalam kenyataan bersama, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, mengesahkan menerima laporan daripada wanita mendakwa diganggu secara seksual anggota agensi keselamatan itu ketika melalui sekatan jalan raya berhampiran plaza tol di ibu negara, Jumaat lalu.

Anuar berkata, pihaknya menerima laporan tersebut pada jam 2.01 petang semalam, berhubung dakwaan salah laku anggota berkenaan terhadap wanita berusia 23 tahun itu.

Dalam pada itu, mereka berkata, kejadian yang menimpa seorang wanita yang diganggu secara seksual oleh seorang pegawai polis amat dikesali, apatah lagi ia datang dari seorang yang sepatutnya menjaga keselamatan orang awam apatah lagi seorang wanita.

“Golongan wanita seharusnya dilindungi dan dihormati oleh semua pihak. Pandang dan layani wanita itu bagaikan ibu, adik atau anak sendiri,” katanya.

Pembangkang juga mahu kejadiaan itu diambil perhatian serius dan disiasat dengan segera oleh pihak yang bertanggunjawab khususnya PDRM kerana kejadian tersebut melibatkan seorang pegawai polis.

“Gangguan seksual berupa perkataan lucah sudah cukup untuk membuatkan wanita tersebut merasa tidak selesa, marah juga ketakutan sehingga memandu kereta dalam keadaan yang masih trauma.

“Tentu sahaja boleh mengundang kecelakaan yang lebih parah selain dari kecederaan emosi dan mental yang baru beliau lalui,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.