KLANG – Seorang jururawat nyaris maut apabila keretanya dipasang dengan sebiji bom dalam kejadian di Kapar, Klang malam tadi.
Wanita berusia 27 tahun itu memberitahu polis, dia menyedari sesuatu yang tidak kena apabila mendengar bunyi “beep” ketika memandu pada kira-kira jam 10 malam tadi.
Dia memberitahu pakciknya yang kemudiannya memeriksa kereta berkenaan sebelum menemui sebuah objek yang tidak dikenali di bahagian belakang kereta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, satu pasukan daripada Unit Pemusnah Bom telah dihantar ke rumah wanita berkenaan sejurus selepas menerima maklumat berkenaan penemuan objek tidak dikenali itu.
Selepas menjalankan siasatan terperinci terhadap objek tersebut, pasukan Unit Pemusnah Bom telah mengesahkan ia adalah sejenis alat letupan diubah suai (IED).
Pasukan itu kemudiannya telah memusnahkan bom tersebut pada jam 2.30 pagi tadi.
“Pakar-pakar bom telah memeriksa objek sebesar botol mineral kecil itu dan mengesahkan ia mengandungi ciri-ciri IED termasuk suis dan bahan letupan,” kata Fadzil.
Tambahnya, polis kini sedang menjalankan siasatan untuk mencari suspek yang membuat bom berkenaan dan memasangnya pada kereta mangsa di samping menyiasat motif kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah serta Akta Bahan Letupan 1957.- MalaysiaGazette