Home Utama Waspada manipulasi sentimen kaum oleh ahli politik – PM

Waspada manipulasi sentimen kaum oleh ahli politik – PM

Pfizer-BioNTech Covid-19 vaccine Muhyiddin Yassin National Covid-19 Immunisation Programme
Muhyiddin Yassin PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Rakyat diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan manipulasi sentimen kaum yang cuba dicetuskan oleh ahli-ahli politik.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu merupakan cabaran utama dalam hampir semua negara yang yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.

Beliau menegaskan, rakyat perlu mengelak daripada pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum.

“Kita sedar, rakyat negara ini tidak akan sekali-kali mengorbankan kesepaduan sosial dan perpaduan negara yang telah kita kecapi ini demi matlamat peribadi.

“Kerajaan juga tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Malis Pelancaran Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 yang disiarkan secara virtual di Facebook hari ini.

Menurut Muhyiddin, Kementerian Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Senator Datuk Sri Ti Lian Ker menggalas tugas berat memastikan agenda perpaduan nasional dijayakan.

Sejak ditubuhkan Kementerian Perpaduan Negara terus bekerja keras bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Hasilnya kata beliau, sebuah Dasar Perpaduan Negara yang bersifat inklusif, jelas dan kohesif dapat dilancarkan pada hari ini.

“Seiring dengan dasar yang digubal, Kementerian turut menghasilkan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030 yang menyokong strategi-strategi dalam Dasar Perpaduan Negara serta menetapkan aspirasi perpaduan yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Saya juga suka menekankan bahawa usaha mencapai perpaduan merupakan suatu perjalanan yang jauh dan berliku. The quest for unity is a journey not a destination (usaha penyatuan adalah perjalanan bukan tujuan),” ujarnya.

Justeru kata beliau, rakyat mesti sentiasa membetulkan niat dan memperkasa usaha bersama untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya, bukan sahaja untuk generasi masa kini, tetapi demi masa depan anak cucu kelak.

Dalam pada itu kata Perdana Menteri lagi, kerajaan amat menyedari hakikat bahawa perpaduan adalah tunjang kemakmuran negara.

Disebabkan itu kata beliau, perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) yang berteraskan model integrasi dihasratkan oleh kerajaan untuk rakyat Malaysia.

Berdasarkan sejarah, rakyat Malaysia telah menerima hakikat masyarakat negara ini adalah majmuk dan pelbagai latar belakang pegangan agama, pengenalan bangsa dan budaya.

Oleh kerana perbezaan dan kepelbagaian ini, maka usaha ke arah mewujudkan perpaduan di negara perlu dilengkapi dan dilandasi usaha integrasi berterusan, katanya.

Menurut Muhyiddin lagi, menyedari hakikat tersebut, Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan perpaduan dalam kepelbagaian telah menetapkan strategi jangka panjang yang menggariskan usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.

Tiga objektif utama yang ditetapkan adalah mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab dan Melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan,” jelasnya.

Tambahnya, bagi memastikan objektif itu tercapai, sokongan padu dan kerjasama penuh daripada semua pihak terutamanya agen penggerak perpaduan yang terdiri daripada Badan Bukan Kerajaan, pihak swasta dan pemegang taruh berkaitan adalah sangat penting. – MalaysiaGazette