KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Mark Adam diumum sebagai penyampai baru segmen Geng Pagi Hot bagi menggantikan Shuib Sepahtu yang mengundur diri akhir bulan lalu.
Berita itu diumumkan di Instagram Hot FM hari ini.
Bergandingan bersama Fizie, Mark akui kerjayanya berubah 360 darjah selepas menerima tawaran tersebut.
Sedar kekurangannya bertutur dalam bahasa Melayu, Mark berkata ia tidak menjadi halangan untuk dia terus menghiburkan pendengar dan teruja untuk menjalani sesi latihan.
“Bahasa Melayu bukan bahasa pertama saya, jadi untuk bertutur dengan lancar sebagai penyampai radio merupakan satu cabaran buat saya tetapi saya juga lihat peluang di Hot FM ini adalah satu cara memperbaiki bahasa pertuturan saya.
“Insya Allah, saya bersama Fizie dan Hot FM akan mencuba untuk menyajikan pengisian yang terbaik dan semoga para pendengar akan terhibur setiap pagi bersama GPH di Hot FM,” katanya lagi.
Sementara itu, di ruangan komen di Instagram Hot FM, ramai yang gembira dengan kehadiran Mark dan terhibur dengan telatahnya yang bersahaja serta berharap penyanyi berasal dari Filipina itu akan menjaga disiplin. – MalaysiaGazette