Home Utama Dua polis didakwa ganggu wanita masa SJR diarah buat kerja pejabat

Dua polis didakwa ganggu wanita masa SJR diarah buat kerja pejabat

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 DISEMBER 2020.

GEORGE TOWN – Dua anggota polis yang melakukan gangguan terhadap wanita ketika Sekatan Jalan Raya (SJR) diarahkan bertugas di pejabat.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, tindakan bertugas di pejabat diambil terhadap kedua-dua anggota yang bertugas di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur itu sementara siasatan selesai.

“Mereka (anggota) yang terlibat dalam kes mengganggu wanita itu bukan digantung tugas sebaliknya mereka diarah lakukan kerja-kerja pejabat.

“Ini merupakan tindakan awal pihak polis sementara siasatan lanjut dibuat terhadap mereka. Tindakan tatatertib akan diambil berdasarkan hasil siasatan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Dalam perkembangan sama, Zamri menegaskan, pihaknya sudah merakam keterangan dua wanita yang mendakwa mereka diganggu anggota polis semasa SJR.

“Kami ingin mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai apa yang sebenarnya berlaku dan proses siasatan ini dijalankan secara telus dan teliti,” ujar beliau.

Kelmarin, MalaysiaGazette melaporkan dua wanita memuat naik status di akaun laman sosial masing-masing dengan mendakwa mereka diganggu secara seksual oleh anggota polis bertugas ketika melalui SJR.

Insiden kononnya anggota polis meminta wanita berusia 23 tahun menunjukkan dia tidak memakai coli itu dilaporkan berlaku di SJR Jalan Duta manakala kejadian meminta nombor telefon sebelum menghantar mesej peribadi pula dilaporkan berlaku di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bukit Aman siasat dakwaan mangsa gangguan seksual masa SJR