
PULAU PINANG – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menghadiri satu majlis rasmi membabitkan pertubuhan Cina berdepan keadaan yang kekok apabila menerima sindiran dan kutukan sebelum dan semasa berucap.
Seorang pemimpin pertubuhan yang memberi ucapan di hadapan Guan Eng memulakan kutukan dengan menyatakan bahawa kerajaan negeri pimpinan Guan Eng membiarkan masyarakat tempatan “menunggu lama” dalam isu hartanah di Love Lane dan isu pesta tokong Pulau Pinang。
Keadaan bertambah keruh apabila Pengerusi Jawatankuasa Persatuan-Persatuan Suku, Zhang Wei Ru (nama mengikut sistem pinyin) memuji kerajaan yang dipimpin bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon.
Keadaan tidak redah selepas Wei Ru mengakhiri ucapanya kerana kutukan bersambung apabila tiba giliran Guan Eng untuk berucap.
Dalam ucapanya, Guan Eng menyatakan bahawa kerajaan negeri walaupun berduit tidak akan membelanjakan dana awam secara sembarangan dan tidak sesekali membelanjakan duit untuk membeli berlian.
Ketika Guan Eng asyik dengan ucapannya, seorang lagi pemimpin pertubuhan Cina tempatan, Huang Jia Ye (nama mengikut sistem pinyin) tiba-tiba menyampuk, “kalau ada duit, tidak perlulah meminjam.”
Kenyataan ringkas Jia Ye itu sudah terang lagi bersuluh dan tidak lain dan tidak bukan merujuk kepada keputusan kerajaan negeri untuk meminjam daripada kerajaan China.
Babak menyampuk tersebut telah dirakam, diedit sebelum disebarkan melalui video. Guan Eng yang sedang asyik berucap kelihatan terkedu apabila terdengar kutukan pedas daripada Jia Ye.
Ketika dihubungi Nanyang Siang Pau, Jia Ye menegaskan bahawa semua orang layak untuk menegur mana-mana orang politik.
Walaupun menerima kutukan, Guan Eng tetap mengumumkan berita baik apabila menyatakan bahawa kerajaan negeri bersedia menukar nama hartanah di Lot 50, Love Lane kepada pertubuhan Cina berkenaan sekiranya cukai tanah dijelaskan dan semua prosedur perundangan diikuti. – MalaysiaGazette