Home Nasional Etnik Rohinya tidak termasuk dalam senarai dihantar pulang – KP Imigresen

Etnik Rohinya tidak termasuk dalam senarai dihantar pulang – KP Imigresen

Pendatang asing tanpa izin menaiki trak Jabatan Imigresen selepas membuat serbuan di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Tiada pemegang kad UNHCR atau etnik Rohingya yang terlibat di dalam program penghantaran (repatriation) pulang warganegara Myanmar menggunakan kapal tentera laut negara itu pada 23 Februari ini.

Sebaliknya, ia hanyalah sebahagian daripada proses biasa pengusiran warga asing di dalam depot imigresen.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, warga Myanmar yang terlibat dalam program ini terdiri daripada mereka yang ditahan di depot-depot imigresen kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 196.

Kesalahan-kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 6(1)(c) (tiada dokumen pengenalan diri); Seksyen 15(1)(c) (tinggal lebih masa) dan Seksyen 39(b) (salah guna pas lawatan).

Sejak Januari 2020 sehingga 31 Disember 2020 JIM telah mengusir sejumlah 37,038 warga asing yang terdiri daripada warganegara Indonesia 17,002, Bangladesh 5,450, Myanmar 3,322, Thailand 2,358, Pakistan 1,493 dan lain-lain warganegara.

Manakala bagi tahun 2019 pula sejumlah 59,114 warga asing dari pelbagai warganegara telah di usir pulang ke negara asal.

Menurutnya, perbezaan yang agak besar dalam jumlah warga asing yang diusir pulang antara tahun 2020 sebanyak 37,038 dan tahun 2019 sebanyak 59,114 adalah disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Kebanyakkan negara menutup pintu sempadan masing-masing disamping turut mengurangkan jumlah penerbangan dan pengangkutan laut.

Perkara ini telah memberikan kesan kepada proses pengusiran warga asing dari depot imigresen ke negara-negara asal tahanan berkenaan.

Dalam perkara ini, JIM merakamkan ucapan terima kasih kepada kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur yang memberikan kerjasama dan mengatur penghantaran pulang warganegara mereka dalam jumlah yang ramai ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ethnik Shan, Kachin, dan Karen seperti Rohingya juga sepatutnya dapatkan perlindungan suaka di China sebab mereka bersebelahan dengan sempadan selatan China. Sekiranya China tidak prihatin dengan pelarian suaka maka China takkan peka dengan padahnya meluaskan hakmiliknya di Laut China Selatan.

Comments are closed.