Home Nasional 7 lori bawa hasil hutan secara haram disita

7 lori bawa hasil hutan secara haram disita

Pegawai penguatkuasa Jabatan Perhutanan Perak menjalankan Ops Oren bagi memantau aktiviti membawa hasil hutan secara haram di negeri berkenaan.

IPOH – Jabatan Hutan Perak (JHP) menyita tujuh buah lori yang membawa muatan hasil hutan menerusi Ops Oren di sekitar negeri ini.

Ops Oren selama empat hari bermula 9 Februari lalu itu dilakukan di lima pentadbiran membabitkan daerah Hutan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Larut dan Matang, Kinta – Manjung dan Perak Selatan.

Kayu balak antara yang disita dalam Ops Oren di sekitar Perak baru-baru ini.

JHP berkata, operasi bersepadu itu dilakukan bagi memantau dan memeriksa  aktiviti membawa hasil hutan secara haram dari Hutan Simpanan Kekal, tanah kerajaan dan tanah milik di negeri.

“Kita lakukan 15 Sekatan Jalan Raya di lokasi yang dikenal pasti bagi mengesan pemandu lori yang membawa hasil hutan secara haram.

“Sepanjang operasi berjalan, sebanyak 50 buah lori yang membawa hasil hutan seperti kayu balak, kayu getah, buluh, rotan dan lain – lain dari Hutan Simpanan Kekal, Tanah Kerajaan dan Tanah Milik telah diperiksa pasukan Penguatkuasa JPH.

Buloh antara hasil hutan yang dibawa secara haram.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7 buah lori disita kerana gagal mengemukakan apa – apa dokumen (pas pemindah) bagi membawa hasil hutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut terlibat dalam Ops Oren ialah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut DiRaja Malaysia, (TLDM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Menurut JHP, semua pemandu serta kelindan lori yang ditahan dibebaskan dengan jaminan selepas pihak polis merakamkan keterangan mereka.

“Barang rampasan pula dipindahkan ke stor jabatan sementara siasatan selesai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 68 (1), 68 (2) dan Seksyen 40 (1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985,” ujar kenyataan itu. – MalaysiaGazette