KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn. Bhd., pengendali perkhidmatan LRT, monorel dan MRT sekali lagi mengingatkan para penumpangnya untuk berhati-hati dan peka terhadap jurang ada di antara tren dan landasan.
Bagi penguna berkerusi roda pula, mereka dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan daripada kakitangan di stesen termasuk Polis Bantuan untuk membantu mereka keluar atau masuk ke dalam tren bagi mengurangkan risiko serta memastikan perjalanan menjadi lancar.
“Peringatan ini adalah untuk semua penumpang tidak kiralah sama ada mereka kuat dan cergas mahupun orang kelainan upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda.
“Rapid Rail sentiasa melakukan audit terhadap kemudahannya dengan pelbagai pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan pemegang taruh tertentu bagi memastikan keselamatan, keselesaan penumpang dapat diutamakan.
“Orang OKU boleh meminta bantuan daripada Polis Bantuan kami atau mana-mana kakitangan stesen di platform berkenaan dan sekiranya mereka tiada di situ, tolonglah minta bantuan daripada pengguna yang lain apabila mahu menaiki tren.
“Saya yakin para penumpang tren adalah golongan baik dan bersedia membantu golongan yang tidak berkemampuan seperti OKU dan warga emas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir. Zohari Sulaiman dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengikut standard antarabangsa jurang maksimum seluas 50mm diperlukan di antara platform dan tren adalah dibenarkan.
Ini bagi membolehkan tren masuk dan keluar stesen dengan lancar tanpa bergesel dengan dinding platform.
Tambah Zohari, Rapid Rail sentiasa memastikan keselamatan di semua stesen LRT, MRT dan monorel.-MalaysiaGazette