Home Eksklusif WAO terima banyak aduan keganasan rumah tangga sepanjang PKP

WAO terima banyak aduan keganasan rumah tangga sepanjang PKP

Pengarah Pembangunan Kapasiti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Melissa Mohd. Akhir. Foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menerima lebih 1,500 aduan berkaitan keganasan rumah tangga sejak Januari hingga Oktober tahun lalu.

Ia sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak dua kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2019.

Pengarah Pembangunan Kapasiti WAO, Melissa Mohd. Akhir berkata, angka tersebut melonjak ketika negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tahun lalu untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Jelasnya, berdasarkan rekod WAO, sebanyak 1,442 panggilan diterima melalui talian hotline, sebanyak 1,496 aduan pula diterima menerusi aplikasi WhatsApp serta sistem pesanan ringkas (SMS) pada tahun 2020 berbanding 579 panggilan dan 816 aduan (WhatsApp) pada tahun 2019.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 266 aduan dicatatkan pada bulan Januari manakala Februari (250), Mac (351), April (898), Mei (849), Jun (879), Julai (717), Ogos (603) dan September (575).

“Jika banding dengan tahun 2019 tak sampai pun 700 aduan dan statistik pula menunjukkan jumlah panggilan sahaja naik sangat tinggi, jadi bayangkan kejadian di mana jika mereka (mangsa) tidak tahu tentang WAO atau pun Talian Kasih.

“Panggilan telefon kita terima dari seluruh negara tetapi yang tertinggi adalah Selangor dan Kuala Lumpur tapi mungkin kawasan lain pun banyak cuma tidak diketahui,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Petaling Jaya baru-baru ini.

Pengarah Pembangunan Kapasiti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Melissa Mohd. Akhir. Foto AFFAN FAUZI.

Diminta mengulas mengenai rumah perlindungan, Melissa menjelaskan, WAO tidak menerima lebih daripada 30 orang ibu bersama anak dalam satu masa bagi menjamin keselesaan penghuni yang menginap di situ.

Menurutnya, antara kekangan lain yang dihadapi apabila mangsa keganasan rumah tangga tersebut datang bersama anak lelakinya yang sudah meningkat remaja.

“WAO pun ada kekangan apabila anak lelaki sudah bersekolah menengah jadi tidak dapat tinggal dalam satu bilik yang sama bersama ibunya kerana perlu ambil kira keselesaan para penghuni lain.

“Sokongan pihak-pihak lain amatlah diperlukan dan kita juga ada hubungi pihak dari negeri-negeri lain supaya mangsa kes sebegini mempunyai lebih pilihan untuk mencari tempat perlindungan,” ujarnya.

Tambah Melissa, individu yang berdepan dengan keganasan rumah tangga namun tidak pasti dengan masalah yang dihadapi boleh menghubungi WAO menerusi talian Hotline 03-795 63488 (24 jam) atau menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp 018-988 8058 (Tina). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Cari jalan keluar, jangan terperangkap dalam kitaran keganasan