Home Eksklusif Salah letak barang pun boleh cetus keganasan rumah tangga – Polis

Salah letak barang pun boleh cetus keganasan rumah tangga – Polis

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan. Foto MOHD ADZLAN.

KUALA LUMPUR – Kadangkala tersalah letak barang di dalam rumah pun boleh menyebabkan keganasan rumah tangga antara suami dan isteri.

Lebih teruk, masalah remeh seperti itu menjadi pencetus perselisihan faham berpanjangan antara si pelaku dan mangsa, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan.

Katanya lagi, sikap pelaku yang panas baran kemudian akan menyumbang kepada berlakunya perselisihan mengenai isu remeh temeh.

“Misalnya salah letak barang pun dia marah, tegur anak pun dia marah jadi selisih faham ini penyumbang tertinggi dan diikuti oleh sebab-sebab kewangan, penglibatan suspek dengan pengambilan dadah dan ia saling berkait.

“Dadah dengan kewangan ini saling berkait kerana kadang-kadang dia (pelaku) minta wang kerana terlibat dalam dadah dan juga mabuk.

“Antara faktor lain seperti tekanan perasaan, proses penceraian dan berebut hak penjagaan anak kemudian hal-hal peribadi atau cemburu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Tambah Siti Kamsiah, kes keganasan rumah tangga merupakan isu yang berlanjutan dengan kebanyakannya membabitkan gangguan daripada segi psikologi mangsa.

Jelasnya, selain daripada membuat laporan kepada polis, mangsa juga perlu merujuk kepada pihak hospital.

Berbeza dengan pendapat Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), statistik kes keganasan rumah tangga di negara ini menunjukkan penurunan drastik dalam tempoh empat bulan pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan tahun lalu.

WAO sebelum ini melaporkan pihaknya menerima lebih 1,500 aduan berkaitan keganasan rumah tangga sejak Januari hingga Oktober tahun lalu.

Siti Kamsiah seterusnya berkata, sekatan perjalanan yang dilaksanakan ketika PKP dan PKPB sebenarnya telah mengehadkan pergerakan yang tidak wajar sekaligus menurunkan jumlah kes keganasan rumah tangga.

“Kes-kes keganasan rumah tangga berlaku penurunan semasa PKP, PKP ini pula ada peringkatnya iaitu PKPB dan PKPP (Pemulihan) jadi yang betul-betul menurun secara drastik adalah tempoh empat bulan pertama antara Mac dan Jun.

“Kemudian naik sedikit ketika PKPB kerana sudah ada pergerakan dan statistik ketika PKPP kembali semula seperti trend asal seperti sebelum PKP.

“Tahun 2020 jumlah kes keganasan rumah tangga direkodkan sebanyak 4,754 kes bermakna ada penurunan pada bulan Mac, April, Mei dan Jun dan ia kembali naik semula pada Julai dan Ogos sebelum back to normal pada Oktober dan November,” katanya.

Mengulas lanjut, Siti Kamsiah berkata, apabila wujudnya sekatan perjalanan maka pergerakan seseorang menjadi terhad dan peluang untuk jenayah kekerasan juga tidak berlaku.

Jelasnya, ia berikutan kebanyakan kes yang terjadi adalah melibatkan kontak fizikal.

“Keganasan rumah tangga ini bukan sahaja orang di dalam rumah yang terlibat malah ahli keluarga lain juga seperti ipar dan sebagainya yang berada di rumah berasingan.

“Apabila ada sekatan perjalanan bermakna banyak pergerakan yang tidak boleh dibuat, jadi tidak ada peluang untuk jenayah kekerasan berlaku terutamanya tubuh badan atau harta benda,” ujarnya.

Dalam pada itu, Siti Kamsiah menjelaskan, kesemua kes keganasan rumah tangga yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah berdasarkan kertas siasatan dan statistik tersebut adalah berbeza dengan agensi-agensi lain atau badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya lagi, kertas siasatan yang dibuka adalah berdasarkan laporan yang mengandungi elemen jenayah.

“Saya ambil tempoh Januari hingga awal November 2020, secara perbandingannya sebanyak 4,368 kes direkodkan berbanding tahun sebelumnya dalam tempoh yang sama iaitu 4,837 kes iaitu berlaku penurunan sebanyak 473 kes untuk tempoh tersebut.

“Negeri tertinggi mencatatkan kes keganasan rumah tangga sememangnya Selangor sebab populasi penduduk yang tinggi kemudian diikuti Sarawak,” ujarnya.

Tambah Siti Kamsiah, kebanyakan kes keganasan rumah tangga yang berlaku membabitkan mangsa berumur antara 26 hingga 35 tahun, diikuti 36 hingga 45 tahun dan 46 – 59 tahun.

“Kes mula banyak pada umur 26 tahun, bermakna keganasan rumah tangga ini di peringkat usia yang matang, jika sudah berkahwin dan mula bekerja ini lah peringkatnya,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai punca-punca berlaku keganasan rumah tangga, Siti Kamsiah berkata, salah satu daripadanya merupakan perselisihan faham antara si pelaku dan mangsa. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

WAO terima banyak aduan keganasan rumah tangga sepanjang PKP