KUALA LUMPUR – Datuk Seri Annuar Musa membidas Tun Daim Zainuddin kerana berterusan mengkritik UMNO.
Menurutnya, UMNO pasca Daim jauh lebih baik.
Tegas Annuar, hal kepimpinan UMNO, biarlah ahli parti itu yang menilai dan menentukannya.
”Apapun kritikan Tun Daim membuktikan UMNO kekal relevan dan UMNO mesti terus diperkasakan. Insya Allah,” katanya dalam ciapannya di Twitter.
Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Kewangan itu yang menyifatkan UMNO tidak lagi mampu menarik sokongan majoriti rakyat kerana sarat dengan warlord (panglima perang) yang beranggapan mereka masih menerajui negara.
Bercakap kepada sebuah portal, Daim berkata, ramai pemimpin UMNO ‘tidak belajar dari sejarah’ dan gagal menawarkan sebarang kepimpinan bermakna untuk kebaikan rakyat.
”Mereka masih bertindak seolah-olah mereka warlord yang menguruskan negara,” kata Daim yang juga bekas Bendahari UMNO semasa parti itu dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Daim berkata, agenda pemimpin sedemikian hanya tertumpu kepada pemeliharaan diri dan rakyat cukup matang untuk mengenali pemimpin seperti ini.
Oleh itu, kata Daim, UMNO tidak lagi menjadi tarikan kepada majoriti rakyat di negara ini. – MalaysiaGazette