PUTRAJAYA – Kerajaan tidak menolak kemungkinan terdapat kesan sampingan sepanjang fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan melibatkan petugas barisan hadapan yang bermula pada 26 Februari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara kesan sampingan itu akan melibatkan bengkak di bahagian yang telah disuntik oleh vaksin Pfizer-BioNTech selain keletihan, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi, menggigil dan demam.
Beliau bagaimanapun menasihati orang ramai agar tidak risau kerana pemantauan berterusan akan dibuat bagi menilai keberkesanan dan keselamatan vaksin sepanjang Program Imunisasi Covid-19 itu dilaksanakan.
“Sebelum seseorang penerima vaksin disahkan layak untuk menerima vaksin, saringan sejarah alahan dan sejarah kesihatan lain akan dilakukan. Ini bagi memastikan individu yang tidak sesuai menerima vaksin tidak diberi suntikan vaksin Covid-19.
“Selepas seseorang penerima diberikan suntikan vaksin, pemantauan akan dibuat selama 15 hingga 30 minit di pusat pemberian vaksin sebelum penerima vaksin tersebut dibenarkan pulang. Ini bagi memastikan tiada reaksi alahan yang serius berlaku sejurus selepas menerima suntikan vaksin.
“Seperti vaksin lain, vaksin Covid-19 juga mempunyai kesan sampingan yang ringan seperti sakit atau bengkak di tempat suntikan, keletihan, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi, menggigil dan demam.
“Kesan sampingan ini akan pulih sendiri,” katanya di Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Muhyiddin berkata pada sidang media selepas melancarkan melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan laman web www.VaksinCovid.gov.my di mana Buku Panduan Program Imunisasi boleh dimuat turun oleh orang ramai.
Turut hadir pada sidang media ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Muhyiddin setrusnya menambah, walaupun kesan sampingan serius seperti anafilaksis boleh berlaku namun ia jarang berlaku.
Jelas bliau sekiranya berlaku kesan sampingan serius seperti anafilaksis, rawatan segera akan diberikan.
“Pemantauan berterusan akan dibuat bagi menilai keberkesanan dan keselamatan vaksin sepanjang Program Imunisasi Covid-19 dilaksanakan.
“Tindakan penambahbaikan akan dibuat berdasarkan kepada hasil pemantauan dan penilaian program secara berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette