KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan permohonan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas pada minggu ini.
Tindakan tersebut diambil berikutan pelancaran buku memoir Tommy bertajuk My Story: Justice in the Wilderness kerana kandungannya didakwa berundur fitnah terhadap bekas Perdana Menteri itu dengan mengaitkannya dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Menurut peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, tindakan Tommy tidak lebih daripada menghina sepanjang prosiding kes itu sehingga ke peringkat Persekutuan, yang mana nama guamnya tidak pernah dikaitkan dengan kes pembunuhan tersebut.
“Saman fitnah ini adalah pasti dan sangat pasti. Anak guam saya (Najib) tidak pernah langsung dikaitkan dalam perbicaraan peringkat Mahkamah Persekutuan. Jadi apa maknannya?
“Kata-kata bekas Peguam Negara (Tommy) ini dilihat memalukan.
“Permohonan bagi prosiding menghina mahkamah sudah siap sebanyak 98 peratus dan kami akan memfailkannya dalam minggu ini. Kami harus memberikan Tommy notis tunjuk sebab dulu,” katanya kepada pemberita pekarangan mahkamah Jalan Duta hari ini.
Seperti termaktub dalam undang-undang, mana-mana pihak terlebih dahulu perlu menghantar surat tunjuk sebab berhubung sebarang tindakan hina mahkamah yang mungkin diambil.
Seandainya penerima itu tidak memberikan sebarang balasan maka tindakan susulan itu boleh diambil.
Pada 2 Februari lalu, Najib dalam surat tuntutan yang dihantar menerusi firma peguamnya, Tetuan Shafee & Co, menuntut satu permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada Thomas berhubung fitnah dalam bukunya itu.
Tuntutan antara lain menyebut melalui inferens dan sindiran yang jelas, Thomas memberi mesej bahawa beliau ketika menjadi Peguam Negara dan Pendakwa Raya berpuas hati dengan kebenaran yang terdapat dalam dakwaan dua individu yang disabitkan bahawa Najib terbabit dalam mengarahkan mereka supaya membunuh Altantuya.
Namun Thomas dikatakan telah membalas dengan mendakwa tidak ada unsur fitnah terhadap Najib.
Dalam pada itu, Shafee juga yakin pihaknya sempat melakukan penambahbaikan dan akan memfailkannya selewat-lewatnya Jumaat ini.
Sebelum ini, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan bekas Peguam Cara III, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria membuat laporan polis terhadap memoir Thomas.
Selain itu polis juga telah menerima lebih daripada 100 laporan polis berhubung kandungan buku itu. – MalaysiaGazette