KUALA LUMPUR – Generasi muda berusia 18 tahun merupakan umur yang paling sesuai untuk mula dibentuk bagi menjadi pengundi.
Itu majoriti yang disuarakan orang ramai dalam tinjauan MalaysiaGazette mengenai pelaksanaan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun di negara ini.
Mohd Iqbal Ruslan yang berusia 18 tahun berkata, usia sebayanya hari ini sudah terdedah dengan hak dan keperluan memilih pemimpin.
Beliau yakin boleh membuat keputusan sebagai pengundi dalam pilihan raya umum akan datang dan merek sebayanya berhak menjadi sebahagian daripada proses demokrasi di negara ini.
“Walaupun muda tapi kami sudah boleh belajar mengundi dan pilih calon terbaik untuk negara. Kita mesti tahu daripada A sampai Z tentang hak mengundi, sebab apa dan kenapa mengundi,” katanya.
Senada dengan Iqbal, Mohd Afiq Hamda, 27, berpendirian tidak ada sebab untuk kerajaan tidak membenarkan warganegara berusia 18 tahun untuk mengundi.
Meskipun umur itu dilihat masih mentah namun golongan itu majoritinya sudah boleh membuat keputusan dan mempunyai pandangan tersendiri.
“Untuk 18 tahun kenapa tidak mereka mengundi? Sekarang umur itu sudah boleh berfikir, bukan macam dulu, mereka pun ada idea sendiri,” katanya.
Selain itu, K. Kumar, 50, pula berkata, generasi muda hari ini sepatutnya dilibatkan dengan tanggungjawab untuk memilih pemimpin.
Ujarnya generasi muda sekarang lebih terdedah dengan ilmu pengetahuan yang meluas tentang perkembangan negara khususnya tentang arena politik tanak air.
Sehubungan itu, katanya, usia 18 tahun adalah usia yang paling layak untuk mula mengundi.
“Bagi pandangan saya okay. Sebab mereka ini adalah generasi yang seterusnya jadi mereka sepatutnya memilih pemimpin terbaik untuk negara.
“Usia 18 tahun mereka sudah boleh buat keputusan. Mereka boleh tahu apa yang kerajaan boleh buat.” tambahnya.
Namun, sebaliknya pula pada Irwan Baharuddin, 40, yang berpendirian individu berusia 18 tahun adalah usia yang masih muda untuk menjadi pengundi.
Jelasnya generasi muda khususnya cenderung untuk memberontak sekiranya diberikan kelonggaran untuk menentukan siapa wakil rakyat terbaik.
Pada Irwan, usia 20 tahun dan ke atas merupakan umur yang sesuai untuk dibenarkan mengundi.
“Saya rasa tidak layak, umur terlalu muda untuk mengundi, teribat dalam politik jadi macam tidak berapa bagus kerana mereka ini boleh bertindak menentang. Umur 20 ke atas boleh mengundi, sebab tahu cara dan hak mereka,” menurutnya.
Isu pelaksanaan undi 18 tercetus apabila Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dipetik sebagai berkata anak muda Malaysia belum bersedia untuk menggunakan hak mengundi dan beberapa bentuk pendidikan politik perlu diinstitusikan terlebih dahulu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata demikian dalam program bicara maya dikenali Clubhouse yang membincangkan isu mengenai Dasar Ekonomi Baharu.
BACA: Armada sokong undi 18 tahun, dakwa kenyataan ketuanya dimanipulasi
Namun Armada yang mewakili sayap pemuda dalam Parti Pribumi Bersatu mendakwa kenyataan Wan Ahmad Fayhsal dimanipulasi oleh media dan beliau sebenarnya menyokong had pengundi berusia 18 tahun.- MalaysiaGazette