KUALA LUMPUR – Kerajaan diseru agar memandang tegas mengenai isu pemandu mabuk dan hukuman berat yang wajar dikenakan ke atas pemandu-pemandu yang membahayakan orang awam.
Ahli Parlimen Belia Malaysia Kuala Lumpur, Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, isu pemandu mabuk ini seperti tiada kesudahan biar pun telah banyak berlaku dan kes meragut nyawa orang lain.
Biasanya yang maut adalah mangsa yang dilanggar, pemandu pula terselamat.
”Baru-baru ini anggota polis maut dilanggar kereta dipandu lelaki mabuk di Kilometer 6 Jalan Kluang dan seorang pemandu dipercayai mabuk telah terbabas di satu taman di Eco Ardence, Setia Alam. Nasib baik kali ini dia kemalangan tidak membabitkan nyawa orang lain,” katanya.
Menurutnya, pemandu mabuk harus dijatuhkan hukuman lebih berat, bukan sekadar denda kerana wang bukanlah sesuatu yang boleh ditukar ganti dengan nyawa.
Jika ditahan dan kemudiannya dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang langkah punitif, perkara yang sama mungkin berulang-ulang, ujar beliau.
”Kerajaan jangan memandang perkara ini sambil lewa, kalau tidak mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa hingga meragut nyawa,” tambah beliau. – MalaysiaGazette