SERDANG – Tiga pemuda etnik Rohingya antara empat individu ditahan ketika menjual jeruk buah dan makanan ringan di persimpangan lampu isyarat di sekitar Seri Kembangan hari ini.
Tiga etnik Rohingya itu memegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) manakala seorang lagi adalah warga tempatan, berusia 22 tahun.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kesemua mereka berusia 21 hingga 27 tahun ditahan di Lestari Perdana Seri Kembangan dan Jalan Kinrara 6 dalam Ops Kesedaran Penjaja Jalanan petang tadi.
Razali berkata, operasi itu dilaksanakan setelah mengenalpasti mereka terlibat aktiviti ini agak lama dan mengambil kira kebimbangan orang ramai tentang keselamatan penjual dan pengguna jalan raya.
“Bertindak atas rungutan penduduk sekitar mengenai keselamatan pengguna jalan, kami terlibat dalam risikan dan pemantauan sejak Ahad lalu dan mendapati lokasi-lokasi berkenaan menjadi tumpuan mereka menjaja.
“Kami mengambil pendekatan menasihati mereka sebagai fasa pertama operasi kerana kita juga memahami situasi sukar yang mereka hadapi sewaktu PKP ini,” katanya di sini.
Keempat-empat mereka telah didekati polis dan dibawa ke Balai Polis Serdang selepas mengambil kira faktor keselamatan mereka.
Ujar beliau, kesemua mereka dilepaskan selepas memberi nasihat dan mengambil segala butiran peribadi serta maklumat bekalan, tempat tinggal dan sebagainya.
Jika mereka mengulangi perbuatan sama, tindakan itu boleh dianggap sebagai mencabar pihak berkuasa dan boleh diambil tindakan di bawah Peraturan 10A (1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana menjual sesuatu kepada orang di dalam kenderaan di persimpangan atau di atas jalan.
Malah, individu yang membeli daripada mereka juga akan dikenakan tindakan mengikut Peraturan 10A(2) kaedah lalu lintas sama kerana cuba membeli sesuatu semasa berada dalam kenderaan di atas atau di persimpangan jalan.
Mengulas lanjut, Razali berkata, tindakan itu mungkin menyebabkan polis dikecam oleh orang ramai.
“Namun, suka saya untuk menjelaskan kita tidak mahu mereka menjual di atas jalan sehingga mengundang bahaya maut kepada diri sendiri dan juga pengguna lain.
“Pemandu kenderaan juga perlu sedar risiko yang menanti penjual buah atas jalanan, justeru itu fikirkan risiko kemalangan yang menanti penjual berkenaan,” katanya.
Beliau menasihatkan penjual-penjualan jalanan ini supaya pilih saluran betul memohon lesen menjaja yang sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) demi keselamatan nyawa diri sendiri.
Sementara itu, pemuda tempatan yang ditahan dalam operasi itu berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana hasil jualannya digunakan untuk menampung keluarganya.
“Hanya kerja ini yang mampu saya buat demi sesuap nasi keluarga saya. Saya menetap di Seri Kembangan dan sebelum ini saya bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum telah diberhentikan kerja.
“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mengeruhkan lagi situasi keluarga saya.
“Dengan jualan sebanyak RM100 sehari di persimpangan lampu isyarat di sini, saya gunakan untuk menampung keluarga,” katanya ketika ditemui di sini.
Manakala salah seorang pemuda Rohingya mengakui mereka bertiga terlibat dalam aktiviti penjualan jeruk buah untuk mendapat komisien sebanyak RM2 setiap botol.
“Sehari dapat jual antara 70 hingga 100 botol,” menurutnya. – MalaysiaGazette