Home Nasional Siasat punca pelajar IPT tawar jadi peneman – Suhakam

Siasat punca pelajar IPT tawar jadi peneman – Suhakam

Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyuarakan kebimbangannya berhubung laporan media baru-baru ini tentang penggunaan laman web pencarian teman tertentu oleh pelajar pusat pengajian tinggi untuk menawarkan diri jadi peneman bagi mendapatkan sokongan kewangan.

Sekiranya tiada mekanisma pemantauan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa, ia boleh memberikan kesan buruk kepada generasi muda.

Lantaran itu, Suhakam berpandangan generasi muda, tanpa mengira gender seharusnya diberikan bantuan dan sokongan yang secukupnya bagi membolehkan mereka untuk meningkatkan potensi diri mereka sama ada dalam aspek pelajaran atau kehidupan
professional.

Dalam perkara ini, Suhakam menyeru pihak berkuasa berkenaan untuk bekerjasama dengan pakar dan organisasi berkaitan bagi mengkaji punca mengapa perkara ini berleluasa dan mengenal pasti serta melaksanakan langkah-langkah untuk menangani isu ini dengan efektif.

Malah, suruhanjaya ini turut meminta Kementerian berkaitan iaitu Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjalankan pemantauan berkala ke atas laman web pencarian teman sebegini atau aplikasi lain yang serupa.

Ini kerana, laman web ini atau aplikasi pencarian teman dalam talian yang serupa boleh mempromosi aktiviti eksploitasi seksual yang melanggar prinsip hak asasi manusia.

”Adalah penting untuk memastikan keseimbangan antara hak untuk mendapatkan maklumat dan tapisan internet dalam mengawal apa yang boleh diakses, diterbitkan atau dilihat dalam laman web terutamanya apabila ia melibatkan generasi muda dan kanak-kanak.

“Suhakam juga ingin mengingatkan ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa memantau aktiviti internet anak-anak bagi melindungi mereka daripada mengakses laman web berunsur lucah yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan diri mereka,” katanya. – MalaysiaGazette