Home Nasional MARDI perkenal 3 produk inovasi bantu petani

MARDI perkenal 3 produk inovasi bantu petani

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bergambar kenangan dengan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd Noor (tiga kiri) serta yang lain pada Majlis Pelancaran Teknologi MARDI - ISR Pisang, Biopestisid Alternatif Mesra Alam Trichoshield dan Buku Manual Teknologi Pengeluaran Cili Secara Organik di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2021

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melancarkan tiga produk inovasi hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam usaha membantu petani meningkatkan hasil pendapatan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, produk tersebut adalah Pakej Teknologi Untuk Kawalan Penyakit Darah Pisang (ISR), TrichoSHIELD dan Buku Manual Teknologi Pengeluaran Cili Secara Organik.

Beliau berkata, ISR dan TrichoSHILED dikomersialkan dalam tempoh enam bulan akan datang selepas MARDI melakukan penyelidikan dan pembangunan selama lima tahun.

“Untuk menangani penyakit darah pisang, MARDI telah menghasilkan ISR dalam meningkatkan kerintangan pokok terhadap makhluk perosak.

“Bagi TrichoSHIELD pula, ia merupakan teknologi biofungisid hasil kajian MARDI yang berpotensi untuk kawalan penyakit antraknos pada tanaman cili.

“Kedua-dua teknologi yang dihasilkan oleh pakar di MARDI ini bukan sahaja mesra alam, malahan ia seterusnya meningkatkan keselamatan dan kualiti produk pertanian dan agromakanan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Teknologi MARDI – ISR Pisang, Biopestisid Alternatif Mesra Alam Trichoshield dan Buku Manual Teknologi Pengeluaran Cili Secara Organik di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2021

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran ketiga-tiga produk itu di Wisma Tani di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd Noor

Beliau turut melancarkan Buku Manual Teknologi Pengeluaran Cili Secara Organik yang berpotensi untuk menjadi rujukan utama dalam mengeluarkan cili secara organik.

Ia meliputi kaedah-kaedah daripada pengurusan pengeluaran anak benih sehingga ke pengendalian lepas tuai.

Ronald menambah, pisang adalah  tanaman buah-buahan popular di Malaysia dengan keluasan bertanam sehingga 30,684 ha serta menjana 345,850 metrik hasil.

Bagaimanapun jelas, industri pisang negara terancam dengan kehadiran sejenis penyakit baru pada tahun 2007 yang dinamakan penyakit darah pisang atau penyakit layu bakteria dari bakteria perosak Ralstonia syzygii subsp. Celebesensis.

“Penyakit yang digazetkan sebagai penyakit berbahaya mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 ini telah menyebabkan industri pisang negara lumpuh dengan kehilangan hasil sehingga 65 peratus.

“Secara tidak langsung, ia telah meningkatkan nilai import daripada RM0.3 juta pada tahun 2007 kepada RM180 juta pada tahun 2018.

“Jadi bagi meningkatkan kerintangan pokok terhadap makhluk perosak. Kerintangan ini boleh diaruh dengan menginokulasi inokulan ISR pada pangkal pokok. Dan eknik kawalan ini telah diujicuba di ladang dan berjaya mengawal penyakit sehingga 92 peratus,” katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee diiringi Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd Noor (kiri) menurunkan tandatangan sebagai gimik Pelancaran Teknologi MARDI – ISR Pisang, Biopestisid Alternatif Mesra Alam Trichoshield dan Buku Manual Teknologi Pengeluaran Cili Secara Organik di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2021

Ronald menambah, bagi TrichoSHIELD pula, ia adalah biofungisid berasaskan Trichoderma strain tempatan khusus untuk kawalan penyakit antraknos pada tanaman cili organik dan konvensional yang diformulasi dalam bentuk talc powder.

“Teknologi ini diaplikasi secara semburan foliar yang dapat mengurangkan jangkitan penyakit antraknos di ladang sehingga 88 peratus dan membantu meningkatkan hasil cili sehingga 54 peratus.

“Ia bukan sahaja mesra alam, malahan menjamin keselamatan produk makanan,” katanya. – MalaysiaGazette