Home Nasional Penganggur didakwa langgar anggota polis di Mahkamah Majistret Kluang

Penganggur didakwa langgar anggota polis di Mahkamah Majistret Kluang

Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

KLUANG – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis, pada 12 Feb.

Tertuduh, T. Yogarajah, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret ND. Arun.

Mengikut kertas pertuduhan, Yogarajah memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang banyak dalam badan, sehingga kadar alkohol dalam nafas melebihi  had yang ditetapkan sehingga menyebabkan kematian Lans Koperal Bradford Bernard, pada pukul 10.57 malam.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zahidah Muhammad Ruzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Zahidah memohon mahkamah untuk tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, manakala tertuduh memohon perbicaraan dilakukan dengan segera dan tidak merayu untuk dikurangkan jaminan, kerana tidak mampu membayar jaminan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tiada jaminan diberikan setelah tiada bantahan daripada tertuduh, selain lesen memandunya digantung sehingga perbicaraan kes selesai.

Mahkamah turut menasihatkan tertuduh mendapatkan peguam menerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), bagi membantunya menghadapi perbicaraan walaupun tertuduh memaklumkan dia tidak mampu menggunakan khidmat peguam.

Mahkamah juga menetapkan 22 Mac depan bagi sebutan semula kes.

Dalam kemalangan Jumaat lepas, Bradford maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol  di Kilometer 6, Jalan Kluang-Teck Wah Hing dari arah Kluang menghala ke Renggam.

Mangsa berusia 28 tahun ketika itu baru tamat bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Simpang Renggam.

— BERNAMA