KUALA LUMPUR – Seorang veteran politik berpendapat, UMNO harus menyambut baik kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk kembali menyertai parti itu jika orang Melayu berpegang kepada dasar awalnya yang berjuang untuk bangsa, agama dan negara.
Tan Sri Mohd Yussof Abdul Latiff, veteran dari Pulau Pinang itu berkata, beliau mengesyorkan Tengku Razaleigh Hamzah menganjurkan rundingan untuk mempelawa bekas presiden UMNO ke pangkuan parti tersebut.
Katanya, hanya Pengerusi Majlis Jemaah Penasihat UMNO itu yang masih dihormati semua pihak termasuk Dr. Mahathir.
“Kedua mereka pernah berjumpa dan berbincang sebelum ini bagi mencari kaedah terbaik perpaduan orang Melayu.
“Ku Li boleh menasihati semua pihak agar berlapang dada dan berjiwa besar untuk menerima semula Dr. Mahathir kembali ke pangkuan UMNO demi kepentingan bangsa, agama dan tanah air.
“Dan, pemimpin UMNO sekarang haruslah memikirkan masa depan orang Melayu serta mengenepikan kepentingan diri dan jawatan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr. Mahathir dalam wawancara dengan sebuah media semalam, dilihat memberi penentangan kuat terhadap UMNO, namun jauh disudut hatinya, beliau masih sayang kepada parti itu.
Bahkan, bekas Presiden UMNO selama 22 tahun itu mengakui hatinya masih sayangkan UMNO.
Menurut Mohd Yussof yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri pertama Pulau Pinang, Tan Sri Wong Pow Nee, sudah tiba masanya pemimpin UMNO membuktikan mereka berjiwa besar.
Katanya, jika UMNO mahu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, mereka harus menerima sesiapa sahaja yang mahu kembali menyokong parti itu.
Ujar beliau, Dr. Mahathir juga harus kembali ke pangkuan UMNO sebagai mengenang perjuangan pemimpin terdahulu, Allahyarham Datuk Onn Jaafar, Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Hussein Onn.
“Empat mereka ini telah berkorban demi parti dan negara tanpa sebarang kepentingan diri, malah tidak mengaut sebarang kekayaan peribadi walaupun pernah ditawarkan.
“Jika tidak bersetuju dengan individu atau pemimpin dalam parti sekali pun, UMNO tidak seharusnya menjadi mangsa sehingga hilang kuasa pemerintahan ataupun dibatalkan pendaftarannya.
“Dr. Mahathir boleh duduk semeja dengan Ku Li berbincang memberi cadangan mengenai perubahan yang harus dilakukan UMNO bagi memastikan kembali berkuasa demi memperjuangkan nasib orang Islam dan Melayu yang kini sering diperkotak-katikkan,” katanya. – MalaysiaGazette
Mentang2 lah umno nk diharamkan pndai je korang nk TUN join balik umno noh.. Pigidahh
Ni apa lagi ni tak habis2 pandang ke belakang? sudah2 lah Mahathir tu dah tak relevan dgn UMNO…
Cukup cukuplah, ramai lagi orang muda dalam UMNO dan mampu jadi pemimpin. Sampai bila UMNO nak ambil orang tua. Biarlah Tun M dengan dunia dia.