Home Nasional Sembahyang Hokkien Clan dilanjutkan – Kementerian Perpaduan Negara

Sembahyang Hokkien Clan dilanjutkan – Kementerian Perpaduan Negara

Masyarakat keturunan Cina menyalakan colok sebagai upacara keagamaan sempena Tahun Baru Cina semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tokong Thean Hou, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melanjutkan tarikh dan masa upacara sembahyang Hokkien Clan di Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sempena Tahun Baru Cina, tertakluk dengan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara, upacara itu dibenarkan berlangsung bermula jam 6 petang pada 19 Februari hingga 2 pagi pada 20 Februari ini.

Katanya, antara SOP yang ditetapkan untuk upacara berkenaan adalah bilangan kehadiran penganut tidak melebihi 30 orang pada satu masa.

Pihak pengurusan RIBI juga perlu menjalankan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum dan selepas aktiviti sembahyang dimulakan, ujarnya.

Selain itu aplikasiMySejahtera bagi tujuan rekod di kawasan yang mempunyai liputan internet yang luas perlu digunakan.

“Pengecualian imbasan kod MySejahtera yang hadir ke RIBI diberikan kepada penganut yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak mempunyai telefon pintar,” tambah kementerian berkenaan.

Lanjutan tarikh dan masa itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal hari ini yang dipengerusikan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.-MalaysiaGazette