KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 17 lagi kluster baharu hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kluster itu menjadikan jumlah kluster di negara ini adalah sebanyak 1,045.
Sebanyak 506 kluster masih aktif manakala, sepuluh kluster ditamatkan hari ini, katanya.
“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Kebun Baru (188 kes), Kluster Jalan Changkat Jong (158 kes), dan Kluster Selambau (155 kes),” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19 hari ini.
Dr. Noor Hisham memberitahu, kluster-kluster baharu itu merupakan 14 kluster tempat kerja dan masing-masing satu bagi kluster kumpulan berisiko tinggi, keagamaan dan komuniti.
“Kluster komuniti adalah Kluster Kampung Jawek di Terengganu dengan 9 kes, Kluster kumpulan berisiko tinggi (Kluster Jalan Sri Putri) dengan 22 kes, dan Kluster Keagamaan (Kluster Jalan Telok Ira di Pahang) dengan 47 kes,” kata Noor Hisham dalam kenyataannya, hari ini.
Empat belas kluster tempat kerja adalah Jalan Bukit Kemuning (55 kes), Kluster Jalan Jitu (39 kes), Kluster Jalan Hulu Tinggi (61 kes), Kluster Mayang (24 kes), dan Kluster Jalan Industri Kidamai (22 kes) berlaku di Selangor.
Johor mencatatkan lima kluster tempat kerja baharu iaitu Kluster Perindustrian Fasa Dua (27 kes), Kluster Jalan Perindustrian Estate (53 kes), Kluster Jalan DPB Tiga (41 kes), dan Kluster Jalan Tebrau Dua dengan 12 kes.
Selain itu, Kluster Lot Satu (9 kes) dan Kluster Lot Tujuh di Sabah dengan lapan kes.
Manalaka satu kluster di kesan di Perak, Kuala Lumpur dan Pulau Pianng itu Kluster Jalan Changkat Jong dengan 166 kes, Kluster Mediacity dengan 15 kes, dan Kluster Lintang Kampung Jawa dengan 86 kes. – MalaysiaGazette