KUALA LUMPUR – Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mengucapkan selamat maju jaya kepada lebih 400,000 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi.
Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, semoga semua pelajar itu berada dalam suasana kesejahteraan yang selamat, kondusif dan terjamin mengikut prosedur operasi standard (SOP) bermula 22 Februari ini di seluruh negara.
“Justeru, calon SPM, SVM, STAM serta ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga masing-masing tidak usah bimbang dan yakinlah bahawa Kerajaan menerusi kementerian dan agensi berwajib telah melaksanakan tanggungjawab yang sangat baik demi kesejahteraan semua pihak.
“KAUKUS telah mengambil maklum bahawa SOP peperiksaan SPM, SVM dan STAM yang diperkenalkan dalam suasana norma baharu akan memastikan setiap calon tidak akan tercicir menduduki peperiksaan awam itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesejahteraan kesihatan awam pelajar serta pengawas peperiksaan pasti dipantau secara rapi dari semasa ke semasa termasuk pihak berwajib sentiasa bersiap siaga menangani pendemik itu andainya berlaku penularan mendadak kes Covid-19.
“Semua pihak perlu memberi motivasi dan doa yang berterusan kepada setiap calon peperiksaan dalam keadaan yang sangat mencabar sekarang.
“Moga peperiksaan SPM, SVM dan STAM dapat berjalan lancar seperti mana yang dirancangkan demi memastikan kesejahteraan anak-anak kita terus terjamin untuk masa depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette