Home Nasional Sindiket jual dadah untuk parti liar menerusi WeChat tumpas

Sindiket jual dadah untuk parti liar menerusi WeChat tumpas

Dadah bernilai RM77,318 untuk kegunaan parti liar dirampas.

GEORGE TOWN – Sindiket pengedaran dadah untuk kegunaan parti liar sekitar Pulau Pinang ditumpaskan selepas polis menahan sepasang kekasih di sebuah kondominium di Lebuh Sungai Pinang 2, kelmarin.

Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 20 tahun pada jam 2.40 pagi di lobi kondominum tersebut selepas polis menemui 15 paket hitam berisi dadah yang dicampur dengan jus minuman miliknya.

Dadah yang dicampur dalam paket minuman itu dijual melalui aplikasi WeChat.

Berpandukan pada maklumat suspek polis menemui makmal dadah di tingkat lima kediaman tersebut yang turut membawa kepada penangkapan kekasihnya berusia 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan di kediaman yang disewa khas bagi membungkus dadah dalam minuman campuran jus di mana pihaknya menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM77,318.

Dadah yang dicampur dalam minuman jus itu untuk pasaran sekitar Pulau Pinang.

Katanya, hasil soal siasat suspek mengaku bekerja sebagai penghantar dadah kepada pelanggan sekitar Pulau Pinang sebaik menerima arahan daripada ahli sindiket yang lain.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket akan mencampurkan dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dalam pelbagai minuman jus sebelum dijual kepada pelanggan yang membuat tempahan menerusi aplikasi WeChat.

“Satu paket jus minuman bercampur dadah itu dijual dengan harga RM180 dan suspek dikatakan mampu mengaut keuntungan RM800 setiap hari,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan itu pelbagai peralatan membungkus semula dadah, wang tunai RM1,100 serta sebuah kereta bernilai RM58,500 yang digunakan suspek untuk membuat penghantaran dadah.

Antara peralatan yang digunakan sindiket untuk mencampur dadah dalam paket minuman.

Mengulas mengenai modus operandi, Soffian berkata, hasil siasatan mendapati sindiket ini didalangi beberapa individu yang mempunyai peranan masing-masing.

Jelas beliau, ahli sindiket tidak pernah jumpa sesama sendiri dan semua perbincangan dibuat melalui panggilan dan mesej.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun dan mereka membuat peraturan di mana setiap ahli dibenarkan masuk ke unit kondominium mengikut waktu tertentu, ini sekali gus menyekat mereka daripada mengenali satu sama lain.

“Usaha mengesan mereka terlibat dalam kegiatan ini masih dijalankan termasuk abang kepada suspek yang menyewa unit kediaman tersebut, ujar beliau.

Tambah Soffian, pasangan kekasih itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Malaysia Gazette