Home Nasional Siasatan kes Annuar Musa diserah ke Bukit Aman – Polis

Siasatan kes Annuar Musa diserah ke Bukit Aman – Polis

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin bercakap pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan geng ragut iaitu Geng Ayoi Gombak dan beberapa kes jenayah yang lain di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kini diserahkan ke Bukit Aman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kertas siasatan itu sudah dilengkapkan sepenuhnya.

“Siasatan sudah lengkap dan kami sudah hantar ke Bukit Aman untuk arahan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Pada Selasa lalu, polis mengambil keterangan Annuar berhubung dakwaan melanggar SOP PKP.

Ia susulan gambar Annuar bersama enam individu lain duduk di dua meja jamuan di Desa Petaling yang tular di media sosial.

Kes disiasat mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Sementara itu, ditanya mengenai anggota polis yang disyaki terbabit dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wanita semasa sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Duta, Saiful Azly berkata, proses siasatan mengenai kes itu juga telah diselesaikan.

Kertas siasatan kes itu sudah lengkap dan dihantar ke Bukit Aman minggu ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota polis yang disyaki terbabit dengan dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wanita semasa SJR di Jalan Duta di sini dikeluarkan daripada penugasan luar. – MalaysiaGazette