Home Nasional Enam premis dijadikan lombong Bitcoin diserbu

Enam premis dijadikan lombong Bitcoin diserbu

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin menunjukkan kejayaan tangkapan dan rampasan terhadap kesalahan mencuri elektrik bagi menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Enam premis di Bandar Sri Permaisuri di Cheras yang dijadikan pusat melombong wang kripto Bitcoin menggunakan elektrik curi diserbu sepasukan polis kelmarin.

Menerusi dua serbuan berasingan bermula pukul 12 tengahari, polis turut menahan empat suspek terdiri daripada dua lelaki warga asing dan dua lelaki tempatan.

Kesemua mereka yang berusia 31 hingga 45 tahun adalah dalang utama bagi kegiatan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, dua suspek iaitu lelaki warga India dan Myanmar ditahan dalam serbuan pertama di sebuah premis di Bandar Sri Permaisuri.

“Hasil soal siasat ke atas mereka membawa kepada serbuan kedua ke atas lima lagi premis perniagaan di kawasan berhampiran dan berjaya menahan dua lelaki tempatan yang juga pengusaha perlombongan Bitcoin.

“Ketika serbuan dilakukan, dua suspek dilihat sedang cuba mengeluarkan beberapa peralatan daripada sebuah premis yang diserbu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Serbuan turut dilakukan bersama petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas syarikat itu mengalami kerugian berjumlah RM3 juta akibat kegiatan curi elektrik daripada perlombongan Bitcoin terbabit sejak dua tahun lalu.

Menerusi serbuan itu juga, sebanyak 250 mesin Bitcoin, 18 alat penjana, dua komputer peribadi, sebuah komputer riba dan pelbagai peralatan komputer dengan nilai RM800,000 dirampas.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Dalam kes berasingan, Saiful Azly berkata, seramai 62 individu termasuk tiga remaja ditahan atas kesalahan dadah dalam sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di sekitar Kuala Lumpur.

Tiga antara mereka yang ditahan itu adalah pekerja perkhidmatan penghantaran dan e-hailing yang disyaki membawa dadah untuk dihantar kepada pembeli.

Pelbagai jenis dadah dirampas iaitu syabu, ekstasi, erimin 5, ganja, heroin, ketum dan ketamin bernilai RM12,993.

“Hasil ujian saringan air kencing, seramai 53 positif dadah dan sembilan negatif,” katanya. – MalaysiaGazette