KUMPULAN ibu-bapa dan pelajar menyambut baik dan lega dengan jaminan yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tiada pelajar daripada enam kategori yang dibenarkan kembali ke kampus pada 1 Mac ini akan diarah pulang ke rumah sebaik tiba di universiti masing-masing.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad turut memberikan jaminan bahawa proses pendaftaran masuk semula pelajar ke kampus adalah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
KPT dalam satu kenyataan pada 31 Januari lalu membeli lampu hijau kepada enam kategori pelajar untuk kembali menyambung ‘kehidupan kampus’ mulai 1 Mac ini.
Kategori pertama adalah pelajar program pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.
Kedua, pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian; ketiga, pelajar asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hybrid dan keempat, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom.
Kelima, pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan keenam, pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional.
Kesemua kategori pelajar ini akan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu secara fizikal dan pengajian dalam talian di kampus masing-masing.
Walapun tidak melibatkan keseluruhan pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus, tetapi keputusan KPT ini tetap disambut baik oleh pihak universiti, ibu-bapa dan pelajar selepas beberapa kali kepulangan pelajar ke kampus di tangguhkan dek kerana keadaan yang tidak mengizinkan akibat penularan COVID-19.
Kepulangan kumpulan pelajar ini serba sedikit akan menghidupkan kembali suasana kampus yang sekian lama agak sepi dan sunyi selepas KPT menggerakkan operasi Ops Hantar Pulang pelajar ke kampung halaman masing-masing pada tahun lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Melalui pemerhatian penulisan, dengan keadaan semasa kini mahupun selepas 1 Mac nanti, masih tidak banyak atau mungkin tiada aktiviti dan program kokurikulum yang boleh dilaksanakan kembali seperti sebelum ini.
Perlu diakui penganjuran pelbagai program kokurikulum oleh kelab dan persatuan pelajar inilah yang menghidupkan ‘alam kampus’ dan berjaya mengasah dan membentuk kemahiran insaniah mereka sepanjang pengajian di universiti.
Aktiviti kokurikulum juga mempunyai peranan dalam pembentukan personaliti pemimpin pada diri mahasiswa dan Omardin (1996) juga menegaskan aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh universiti bertujuan untuk melahirkan pemimpin dalam kalangan mahasiswa.
Mahasiswa kita memainkan peranan yang besar dalam membawa universiti dekat dengan masyarakat melalui pelbagai program berbentuk libatsama, khidmat komuniti, kesukarelawanan dan pemindahan ilmu.
Penglibatan pelajar dalam program seumpama ini ternyata berjaya mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu sekaligus menjadikan mereka insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani, sahsiah dan kepimpinan.
Sesungguhnya tidak semua proses mendidik manusia itu boleh diambil alih oleh kecanggihan teknologi.
Apabila seorang mahasiswa menonton video sebuah keluarga yang susah dan miskin, pastinya ia tidak akan sama impaknya dengan dirinya sendiri turun menyantuni keluarga tersebut, menyelami kisah suka duka mereka dan menyampaikan bantuan.
Justeru, dengan terhenti seketika program kokurikulum di kampus pada waktu ini, maka ia memberi cabaran baharu kepada universiti untuk menerokai pendekatan dan solusi baharu untuk memastikan aspek pembinaan kemahiran insaniah, sahsiah dan kepimpinan masih boleh diterapkan kepada mahasiswa kita.
Oleh: Zaini Othman
Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM. Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis