KUALA LUMPUR – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menyambut baik pengumuman Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Menurutnya, agensi ini teruja dengan inisiatif ini dan menawarkan sokongan dan komitmen tegas untuk menjayakan MyDIGITAL bersandarkan tiga teras strategik MDEC iaitu rakyat Malaysia berkemahiran digital, perniagaan dipacu secara digital dan
menarik pelaburan digital bagi mencapai masyarakat terintegrasi teknologi selaras Malaysia 5.0 dan mengukuhkan kedudukan sebagai Nadi Digital ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, pelancaran MyDIGITAL dilihat sebagai tindakan positif kerajaan kepada gelombang digital dunia yang berkembang pantas ketika ini dan sangat penting bagi Malaysia sebagai pasaran ekonomi digital yang berkembang pesat di rantau ini untuk kekal kompetitif.
MDEC juga menyambut baik kebenaran bersyarat yang diberikan kerajaan kepada empat syarikat terkemuka iaitu Microsoft, Google, Amazon dan Telekom Malaysia untuk membina dan menguruskan pusat data berskala besar dan perkhidmatan cloud.
”MyDIGITAL diyakini akan memperkukuhkan asas serta pembangunan infrastruktur digital negara. Memandangkan pertumbuhan ekonomi digital bergantung kepada data, inisiatif untuk wujudkan pusat data berskala hiper dengan jangkaan pelaburan mencecah RM15 bilion akan meningkatkan ruang inovasi dan perkongsian kerjasama awam dan swasta.
”Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang disebut untuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada dengan sasaran sembilan juta premis menjelang penghujung 2025 akan menjadikan negara kita bersedia ke teknologi selular generasi kelima atau 5G dalam masa terdekat.
”Seterusnya, komponen 5G akan memacu pelaburan dalam inovasi baharu menerusi kepantasan yang memungkinan pemindahan teknologi sekaligus mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan menjadikan Malaysia salah satu pasaran paling kompetitif di dunia,” katanya.
Berdasarkan jangkaan baharu sumbangan ekonomi digital kepada KDNK negara yang mencecah 22.6 peratus menjelang 2025, MDEC bersama Kementerian Komunikasi dan Multi Media akan meneruskan usaha memimpin ekonomi digital supaya terus berkembang maju serta berpusat bagi memastikan kemakmuran bersama untuk rakyat dan seterusnya merealisasikan masyarakat terintegrasi teknologi iaitu Malaysia 5.0.
MDEC komited untuk melaksanakan inisiatif berpaksikan digital seperti diumumkan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan mengukuhkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.
Tambah Surina, MDEC teruja apabila MyDIGITAL juga memberi tumpuan penting kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro untuk beralih ke arah e-dagang yang selama ini menjadi inisiatif penting dilaksanakan MDEC. – MalaysiaGazette