KUALA LUMPUR – Permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia tidak mencukupi bahkan individu yang mempermainkan sentimen agama Islam perlu ditangkap, dihadapkan ke mahkamah dan dihukum sebagai pengajaran kepada orang lain.
Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menegaskan, meskipun sudah ada permohonan maaf disiarkan kepada umum, namun pihak polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelaku terlibat.
“Hari ini dapat pula video minta maaf pula. Minta maaf bukan kepada media, kamu kena tangkap dulu, siasat dulu, kena hukum dahulu kepada orang yang menghina.
“Mungkin hukuman dia ringan kalau boleh beratlah, penjara 20 tahun, sebatan 20 kali dan denda RM1 juta baru ada pengajaran.
“Jangan sentuh, jangan usik, jangan permainkan agama kalau kamu mahu senang,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.
Terdahulu Abdul Rani bersama Gabungan NGO MJMM dan Insan Rakyat Muslim Malaysia (IRIM) membuat laporan polis terhadap seorang individu yang tidak dikenali memuat naik video dan bercakap bahasa Tamil mendakwa mengahwini wanita Islam dan telah murtad.
Video berdurasi tiga minit 11 saat itu dipercayai dirakam sendiri oleh seorang individu mendakwa mengahwini seorang wanita Islam dengan tujuan untuk memurtadkannya dan kembali ke agama Hindu.
Dalam pada itu, Abdul Rani Kulup berkata, tindakan itu bukan sahaja menghina Islam bahkan telah menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.
“Rakyat Malaysia berasa marah apabila memainkan sentimen agama, jangan usik agama, jangan usik sentimen agama, jangan usik agama Islam, kalau kamu mahu senang.
“Kenapa nak viral nak mengajak orang terutamanya wanita kahwin dengan bukan Islam tapi tak mahu tukar agama, tapi keluar negara dimurtadkan,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan rakyat sedang berdepan dengan pandemik Covid-19, tindakan itu menambahkan kegusaran apabila Islam sekali lagi dipermainkan dan diusik oleh bukan Islam.
“Dia menghina agama Islam, dia menghina Allah dan Nabi Muhammad SAW. Apa niat sebenar kamu nak mengajak orang masuk ke agama Hindu?
“Islam adalah agama Persekutuan kerana bab agama di bawah Yang di-Pertuan Agong, Institusi DiRaja, Raja-Raja Melayu.
“Jangan memain dan meniup sentimen perkauman dan keagamaan yang boleh mengakibatkan rakyat jadi marah dan bergaduh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette