KUALA LUMPUR – Semua kawasan rehat dan rawat (R&R) di negeri-negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dibuka sehingga jam 12 tengah malam.
Manakala negeri-negeri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beroperasi sehingga jam 10 malam, susulan pengumuman terkini kerajaan, menurut PLUS Malaysia Berhad (PLUS).
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, bagi memudahkan pelanggan merancang perjalanan mereka dan berhenti singgah untuk menikmati makanan di lebuh raya, premis makanan dan minuman bagi R&R dan hentian sebelah di negeri-negeri yang melaksanakan PKPB (Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kedah dan Terengganu) akan beroperasi pada jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.
Semua premis makanan dan minuman di R&R dan hentian sebelah yang terletak di negeri-negeri yang melaksanakan PKP (Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang) pula beroperasi seperti biasa mulai jam 6 pagi hingga 10 malam.
Ruang makan di medan selera di R&R dan hentian sebelah yang berada di bawah negeri-negeri PKP dan PKPB juga dibuka dan pelanggan dibenarkan untuk menikmati makanan mengikut SOP yang ditetapkan dan mengamalkan penjarakan fizikal.
Semasa tempoh PKP dan PKPB, semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka 24 am dengan menjalankan pembersihan berjadual lebih kerap, katanya. – MalaysiaGazette