KUALA LUMPUR – Seramai 401,105 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara.
SPM akan bermula pada Isnin ini, 22 Februari hingga 25 Mac
Lembaga Peperiksaan berkata, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPM 2020, seramai 48,014 petugas peperiksaan telah dilantik.
Semua calon diingat agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan dan arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung. Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my
Calon juga diingatkan supaya membawa Dokumen Pengenalan Diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
Lembaga Peperiksaan juga mengingatkan calon agar mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ini bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan serta mencegah penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette