KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) akan melancarkan program membentuk kemahiran ibu tunggal berpendapatan rendah (B40) bagi menjana pendapatan.
Yang Dipertuanya, Datin Masdiana Muhamad berkata, program Pekawanis dijangka bermula bulan hadapan.
“Antara kemahiran yang ditawarkan ialah menjahit, penyediaan makanan sejuk beku, urutan spa serta solekan wajah. Para peserta program akan dilatih dari awal sehingga mereka mampu menjana ekonomi sendiri.
“Malah mereka juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri menerusi agenda digitalisasi yang telah dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Masdiana berkata, pihaknya turut menyasarkan para peserta menjadi ikon selain berpotensi sebagai tenaga pengajar untuk peserta lain.
Selain itu, sesi pembentangan dan demonstrasi dari semua pengajar sudah dijalankan sebagai tindakan memastikan program berjalan lancar. -MalaysiaGazette