KUALA LUMPUR – Pembinaan 12,000 buah unit Residensi Prihatin, iaitu skim baru rumah mampu milik, yang berharga RM200,000 dapat merealisasikan hasrat belia untuk memiliki aset tetap.
Insiatif seperti ini akan membolehkan golongan belia dalam mengumpul aset jangka panjang serta melakukan pelan pelaburan yang bijak bagi menjamin masa depan.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Bukit Bintang, Justin Prabakaran berkata, inisiatif tersebut dapat meringankan beban golongan itu yang layak membuat permohonan perumahan.
“Saya berpendapat rumah mampu milik dengan kemudahan tiga bilik dan dua bilik air yang berharga RM200,000 merupakan jumlah (harga) berpatutuan.
“Ini sekaligus membantu belia yang baru berkahwin yang kebanyakannya menghadapi kesukaran menjalani kehidupan baharu dan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah pertama mereka.
“Sememangnya ini satu pelan terbaik dalam menangani cabaran semasa yang dihadapi oleh negara kita, dalam peringkat pandemik penularan wabak Covid-19 dan kemelesetan ekonomi khususnya di Wilayah Persekutuan,” katanya hari ini.
Justin mengulas inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan yang memperkenalkan Residensi Prihatin bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman yang selesa dengan persekitaran yang selamat, sihat dan sejahtera.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha itu merupakan salah satu program pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan yang sentiasa menjadi agenda utama pihaknya.
Kata Justin, keutamaan yang diberikan kepada penjawat awam dan golongan daripada kumpulan keluarga berusia muda berpendapatan kasar tidak lebih RM5,000 sebulan memberi nafas lega kepada golongan itu.
“Di samping itu, penetapan syarat minimum 60 peratus daripada jumlah unit diperuntukan untuk kuota bumiputera bagi mengatasi masalah pemilikan rumah dalam kalangan kumpulan B40 tersebut.
“Pelancaran seperti ini patut dipuji dengan penekanan ke atas kesejahteraan anak-anak muda Wilayah Persekutuan yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri,” ujarnya yang mengalu-alukan pelancaran pembinaan Residensi Prihatin itu.
Dalam pada itu, pihaknya juga bersedia untuk membantu golongan belia yang berkelayakan untuk memohon skim perumahan tersebut. – MalaysiaGazette
Residensi Prihatin mampu milik untuk B40 di Wilayah Persekutuan