KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) digesa menangguhkan dahulu caj bayaran sewa parkir bulanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga industri pulih kembali.
Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) membuat gesaan itu selepas mendakwa menerima banyak aduan daripada pekerja lapangan terbang terutama dalam kalangan kru pesawat.
Menurutnya, isu ini timbul semula walaupun MAHB pernah ditegur apabila terus mengenakan caj bulanan ke atas pekerja-pekerja walaupun mereka sudah lama tidak bekerja sejak pandemik Covid-19 tahun lepas.
NUFAM berkata, MAHB tetap mengenakan bayaran caj parkir bulanan di KLIA walaupun ramai pekerja ini tidak mempunyai jadual bulanan seperti dahulu.
Kebanyakan kru sekarang hanya bekerja sehari atau dua kali sebulan.
”Jadi tempat parkir memang kosong dan tidak digunakan oleh pekerja. Ini bukan salah mereka tetapi disebabkan situasi pandemik. Jadi tindakan MAHB yang masih terus mengutip caj bulanan sebanyak RM160 adalah tidak berpatutan.
”Sebaik-baiknya MAHB tidak kenakan sebarang caj untuk sementara kerana di lapangan terbang pun tidak beroperasi 100 peratus lagi,” katanya dalam kenyataan di sini.
NUFAM mendakwa isu ini telah dibangkit oleh pekerja-pekerja sendiri kepada pengurusan MAHB tapi tidak mendapat apa-apa jawapan dan tindakan.
Lantaran itu, NUFAM mengesa pengurusan MAHB mengambil perhatian kepada isu ini kerana ramai pekerja ini telah terjejas dengan pendapatan bulanan mereka.
”Ramai pekerja ini pula hanya menerima gaji dan elaun kurang dari RM1,000.00 sebulan dan pasti ramai masih tidak mampu membayar sewa bulanan mereka seperti dulu. Apa salah diberikan kelonggaran buat masa ini.
“Pekerja-pekerja ini pun terpaksa mengunakan tempat parkir di KLIA, jika mereka dipanggil bekerja kerana tiada tempat lain selain KLIA yang menyediakan parkir,” ujarnya. – MalaysiaGazette