KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) ditetapkan pada 27 dan 28 Mac ini, dengan kombinasi himpunan secara bersemuka dan juga maya.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, segala prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawakan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) akan dipatuhi sepenuhnya.
“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan bahawa tarikh PAU 2020 ialah pada 27 dan 28 Mac ini, iaitu Sabtu dan Ahad.
“Pelaksanaan PAU kali ini adalah kombinasi perhimpunan secara bersemuka dan juga secara maya dengan pematuhan SOP,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Sementara itu, katanya, sempena sambutan 75 tahun UMNO pula, MKT merancang pelbagai aktiviti diadakan bagi sambutan Jubli Intan kelahiran parti itu.
Antaranya, aktiviti sayembara penulisan puisi, video pendek dan mencipta logo. Segala maklumat lanjut mengenai tiga sayembara ini boleh lyari www.umno-online.my,” katanya.
Beliau berkata, UMNO genap berumur 75 tahuin pada 11 Mei ini. – MalaysiaGazette