PELBAGAI pandangan dapat kita baca dan dengar apabila keputusan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pembukaan sekolah pada 19 Februari lalu. Ada yang menyokong dengan keputusan yang dibuat menteri itu dan tidak terkecuali
membantah disebabkan beberapa faktor yang menyentuh hati rakyat yang prihatin. Saya
pasti di peringkat kementerian tentunya telah berbincang sebelum mengumumkan
keputusan itu.
Namun, daripada satu sudut yang lain, adakah pihak kementerian melihat keadaan rakyat, khususnya guru-guru dan ibu bapa yang kurang mampu bertungkus lumus mendapatkan serta mempersiapkan keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)? Sepatutnya, ia perlu dilihat daripada pelbagai sisi. Tempatkan situasi yang rakyat alami dan paling tidak, pihak kementerian sewajarnya memberikan tempoh yang sesuai, sebagai contoh sebulan atau dua bulan lagi sebelum pembukaannya.
Ini tidak, seminggu sahaja lagi sekolah akan dibuka, maka tersentaklah mereka yang
sebelum ini berjuang untuk menyempurnakan PdPR. Sebagaimana kicauan status Twitter
daripada Fadhlina Siddiq yang tular baru-baru ini; “Baru launch TV Pendidikan. Mak bapak baru bergolok gadai beli tablet/gajet. Cikgu baru siap jadual PdPR 2.0. Lepas tu umum sekolah buka? Apa benda ni?” Komentar daripada rakyat rata-rata membenarkan status ini kerana mereka yang merasai keadaan itu. Memanglah jika rakyat yang tidak merasai keperitan itu, boleh sahaja menyelar status berkenaan.
Namun, apabila dilihat keadaan itu seperti kita yang alami, tentunya Menteri Pendidikan
tidak tergamak mengumumkan pembukaan sekolah seawal itu. Status Tuan Syed Azmi
apabila berkongsi status tersebut melalui FB turut mendapat respons Ninie Yusuf. “Kesian pada yang tak mampu, bergolok bergadai dengan keputusan kerajaan yang tak menentu ni. Nak meneruskan kehidupan itu lebih penting.. anak-anak banyak ketinggalan
pelajaran. PdPR tidak membantu sepenuhnya. Kesian anak-anak.. kesian sangat.. yang
penting pelajaran”. Mengenai status Puan Fadhlina Siddiq itu, ia hangat berlegar dalam kalangan guru-guru juga hingga pelbagai kata dilontarkan.
Fahami suara rakyat
Saya membaca keterangan yang sangat baik daripada seorang peguam bernama Mufarwa Farid mengenai status tersebut. Diharapkan masyarakat kita lebih prihatin dengan isu yang berlegar ini dan pihak kerajaan perlu memandang serius suara-suara rakyat ini. “Ramai yang tak faham apa yang Puan Fadhlina nak sampaikan. Beliau bukan tak setuju sekolah dibuka semula. Tapi, beliau marah dengan kerajaan yang flip flop. Kejap buka, kejap tutup, lepas tu suruh buka balik. Hari tu dah suruh tutup. Jadi, semua mak ayah terpaksa berhempas pulas pula siapkan peralatan PdPR. Guru-guru dah dua tiga kali ubah silibus. Kerajaan siap buat TV pendidikan. Tiba-tiba, sekolah buka balik.
Siapalah tak marah macam ni? Penat tau nak siapkan semua ni dalam masa tak sampai 2
bulan. Kebanyakan persiapan pembelajaran adalah inisiatif guru sendiri. Dah keluar arahan buka sekolah, memang tak boleh buat apa lah. Kena la ikut juga. Nanti
kalau tiba-tiba disuruh tutup sekolah, pun kenalah ikut juga. Yang kita marah, keputusan kementerian ni amat flip-flop dan mengejut.
Kita jangkakan, sekolah akan buka semula lepas kes turun. Mungkin bawah 1,000 kes baru, baru sekolah buka semula. Tapi, kes masih lagi atas 2,000. Tup-tup, sekolah dibuka. Siapa sangka? Di kala ada mak ayah yang baru je berhutang nak beli gajet untuk anak, tiba-tiba sekolah buka semula…”
Belum nampak surutnya
Jadi, Kementerian Pendidikan perlu ada satu keputusan yang jelas dalam keadaan pandemik Covid-19 yang belum nampak surutnya ini. Tindakan yang jelas, realistik dan bijak perlulah dibuat agar tidak menganiaya rakyat yang merasai situasi ini.
Sebagaimana kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM Malaysia
(IKRAM), Profesor Dr Omar Yaakob dalam kenyataannya baru-baru ini yang menyatakan
bahawa kegusaran mengenai keselamatan murid semasa PdP bersemuka memang tidak
dapat diperkecilkan. “Walaupun sekolah bakal dibuka sepenuhnya pada awal bulan April, PdP bersemuka perlu dilaksanakan secara berhati-hati, berperingkat dan penuh kewaspadaan, dan KPM perlu mengambil pendekatan berbeza bagi pelbagai keadaan yang bakal dihadapi.”
Persoalan yang jelas perlu dijawab pihak kementerian, adakah pendekatan dan keperluan
mendepani situasi pembelajaran secara bersemuka itu telah disenaraikan dan dikenal pasti? Menjadi kerisauan sebilangan besar ibu bapa dan guru juga adalah faktor virus yang masih bermaharajalela ini. Apalagi di sekolah nanti, adakah murid-murid mampu diawasi mengikut SOP yang ditetapkan?
Bagaimana dengan anak-anak istimewa?
Boleh jadi pihak Kementerian Pendidikan terlepas pandang akan hal ini. Ia sewajarnya
dijelaskan juga pada sidang media 19 Februari lalu bagi merungkai persoalan ibu bapa yang memiliki anak yang berada di kelas Program Pendidikan Khas (PPK) tersebut.
Adakah langkah-langkah keselamatan selain SOP yang telah ditetapkan telah diteliti dan
disenaraikan oleh pihak Kementerian Pendidikan untuk golongan istimewa ini agar mereka
dapat kembali meneruskan sesi persekolahan seperti biasa dalam norma baru ini?
Terfikir saya situasi ini apabila membaca berita Bernama hari ini, yang mengetengahkan
mengenai ‘Pandemik Covid-19 juga jejaskan anak istimewa, autistik’. Memang semua itu tidak mudah dihadapi, namun ia perlu jelas dan diperincikan agar ibu bapa dan guru jelas akan langkah-langkah yang perlu diambil perhatian.
#HerdikanRakyat
Memang rakyat mahukan anak-anak mereka sekolah seperti sediakala. Namun, dalam
keadaan angka-angka Covid-19 yang belum turun kepada angka yang kecil dan kluster-
kluster baru pun muncul, pihak kerajaan sewajarnya menimbang kembali tentang isu ini
sebelum sekolah dibuka minggu depan. Bagaimana dengan rakyat khususnya ibu bapa dan guru-guru yang sangat terkesan dengan pengumuman drastik menteri pendidikan tersebut?
Ini adalah soal rakyat yang pemimpin perlu ambil perhatian bagi menjamin perkara yang
‘flip-flop’ seperti ini tidak berulang lagi kerana yang menjadi mangsa keadaan adalah rakyat itu sendiri.
Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan IKRAM Malaysia