Home Pendapat Awas sugarbaby, penyakit kelamin akibat seks bebas

Awas sugarbaby, penyakit kelamin akibat seks bebas

Gambar hiasan

AKHIR-akhir ini, negara kita dikejutkan dengan penglibatan mahasiswa dan mahasiswi di
Malaysia terlibat dengan aktiviti sosial yang melampaui batas dengan mengikuti laman
sesawang temujanji popular. Laman sesawang ini yang dikenali sebagai sugarbook
menguruskan dan menemukan sugar daddy atau sugar mummy dengan sugar baby untuk
menjalankan hubungan terlarang. Kebanyakan sugarbaby adalah daripada kalangan pelajar universiti dalam linkungan 20-25 tahun. Yang lebih membimbangkan lagi adalah seramai 300,000 sugarbaby ini telah mendaftarkan diri dalam laman sesawang mencari teman. Sugarbook ini telah mencatatkan lebih 400,000 keahlian termasuk 180,000 sugar daddy dan 6,000 sugar mummy di Malaysia.

Sugar baby memberikan beberapa alasan mengapa mereka terlibat dalam aktiviti yang tidak bermaruah ini. Mereka menyatakan beberapa faktor penyebab penuntut universiti mencari sugar daddy iaitu seperti hutang pinjaman pelajaran, kos sara hidup tinggi, kenaikan yuran tuisyen dan peluang mendapat duit dengan mudah. Faktor utama gejala ini berleluasa adalah akibat keadaan ekonomi di Malaysia dan beban kewangan. Purata umur sugar daddy adalah 35 tahun dan sugar baby kebanyakannya 23 tahun. Lagi pula elaun yang didapati dari hubungan ini adalah dalam RM2500 sebulan.

Isu yang lagi membimbangkan, aktiviti yang tidak sihat ini menjadi semakin teruk apabila
sugar baby terlibat dalam perhubungan haram dengan beberapa sugar daddy dan bukan
hanya seorang. Seks bebas yang melibatkan pertukaran banyak pasangan boleh menyebabkan penyakit kelamin mudah terjadi. Seks bebas seringkali berlaku di kalangan remaja terutama pelajar-pelajar di kolej dan universiti di luar negara.

Namun, trend ini telah mula menunjukkan kehadiran penyakit ini di kalangan remaja di rantau ini. Kemungkinan besar insiden penyakit kelamin ini wujud dan merebak dalam kalangan remaja dewasa ini adalah disebabkan kewujudan Internet, whatsapp dan wechat web dan yang terkini sugarbook yang berleluasa di kalangan remaja yang menyebabkan secara tidak langsung mereka telah terjebak dalam kancah maksiat.

Penyakit kelamin boleh disebabkan oleh kuman seperti bakteria, kulat dan virus seperti
candidiasis, chlamydia, trichomoniasis, HIV, herpes, gonorrhoea, syphilis dan lain-lain lagi. Di antara gejala atau simptom yang paling sering dihadapi oleh penghidap penyakit kelamin adalah seperti kebengkakan, kemerahan, kegatalan pada faraj atau kemaluan wanita dan keluaran lendir atau nanah dari kemaluan.

Manakala, gejala yang sering dihidapi dalam kalangan lelaki adalah sakit ketika buang air kecil atau sakit dan bengkak pada zakar. Adakalanya, tiada gejala yang dihidapi dalam sesetengah kes seperti dalam kes ketuat atau herpes. Dalam kes-kes sebegini, agak sukar untuk mendiagnosakan penyakit dan mereka seringkali tidak mendapat rawatan yang sepatutnya.

Perebakan penyakit ini boleh berlaku melalui hubungan seks bebas. Adalah penting
bagi masyarakat mendapat bimbingan dari keluarga dan rakan sekeliling yang paling hampir dengan mereka agar tidak terjebak dalam seks bebas sewenang-wenangnya. Hubungan seks melalui faraj, dubur dan oral boleh menyebabkan penyakit merebak. Pada masa ini, pasangan yang ingin berkahwin perlu menjalani ujian HIV sebelum berkahwin dan ini penting bagi mengelakkan berlaku perebakan penyakit kelamin secara tidak langsung.

Setiap pasangan yang telah berkahwin pula harus setia pada pasangan masing-masing dan tidak mengamalkan seks bebas di luar hubungan perkahwinan. Ini perlu bagi mengelakkan diri dari dijangkiti penyakit kelamin dari mereka yang telah pun dihinggapi oleh penyakit kelamin. Penyakit kelamin boleh dikesan dari aduan dan sejarah pesakit yang mengalami sakit di kawasan faraj atau zakar.

Seterusnya pengambilan sampel darah, air kencing dan ujian sapuan dengan putik kapas boleh dilakukan pada kawasan kemaluan dan dihantar ke makmal mikrobiologi bagi menentukan jenis kuman yang dijangkiti. Ini penting agar penyakit dapat dirawati dengan rawatan dan ubat yang khusus untuk penyakit tersebut, dan bagi mengelakkan orang lain dari mendapat penyakit kelamin. Selain dari itu, nasihat harus diberi pada pesakit agar mengamalkan amalan hidup yang sihat dan menjauhkan diri dari amalan seks bebas.

Di antara komplikasi penyakit yang boleh berlaku adalah seperti penyakit
keradangan pelvis, mengandung luar rahim dan kemandulan. Maklumat komplikasi penyakit seperti ini perlu disampaikan pada masyarakat agar mereka lebih peka akan akibat penyakit kelamin dan mengelakkannya. Mengelakkan diri dari mendapat penyakit adalah lebih baik dari menerima rawatan penyakit setelah dijangkiti penyakit.

Islam telah menggariskan panduan dalam kehidupan ini tentang hubungan lelaki dan
juga perempuan. Islam menghalalkan pernikahan bagi membenarkan hubungan lelaki dan
perempuan berada dalam keadaan sah dan dibenarkan oleh syarak. Berzina atau melakukan hubungan seks antara lelaki/ perempuan yang tidak melalui pernikahan adalah satu dosa besar di dalam Islam bagi menjaga maqasid Syariah iaitu penjagaan keturunan.

Dalam Al-quran, dikatakan semua Muslim percaya bahwa berzina adalah dosa besar, dan dilarang oleh Allah SWT serta hukumannya sangat berat. Sabda Nabi Muhammad SAW, “Tidak halal (ditumpahkan) darah seorang muslim melainkan karena salah satu dari tiga sebab; Orang tua (muhshon/pernah menikah) yang berzina, jiwa dengan jiwa (qishash/hukum bunuh bagi pembunuh), dan orang yang meninggalkan agama yang memisahkan diri dari kelompoknya (maksudnya murtad dari Islam).” (HR. Muttafaq ‘alaih).

Maka bagi yang telah terlanjur, bertaubatlah dan kembalilah ke pangkal jalan. Pintu taubat masih terbuka selagi kita masih hidup. Carilah rezeki yang halal lagi berkat. Sesungguhnya kehidupan ini ladang akhirat. Setiap daripada kita akan disoal oleh Allah SWT tentang kehidupan kita didunia dari mana rezeki kita perolehi dan kemana rezeki itu digunakan.

Moga Allah memberkati dan meredhai kehidupan kita ini. Wallahualam.

Prof Dr Faridah Mohd Nor
Pakar Patologi Forensik
Fakulti Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi,
Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia