Home Nasional Bapa hadapi 67 pertuduhan rogol anak sejak berusia 10 tahun tiba di...

Bapa hadapi 67 pertuduhan rogol anak sejak berusia 10 tahun tiba di mahkamah

Seorang lelaki berusia 42 tahun dibawa oleh pegawai polis ke Mahkamah Sesyen atas 67 pertuduhan kes merogol anak kandungnya dan rakan mangsa di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 24 FEBRUARI 2021.

KLANG – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 67 pertuduhan kes merogol anak kandungnya dan rakan mangsa.

Suspek berusia 42 tahun yang juga seorang peniaga air tebu, dijadualkan berdepan pendakwaan itu pada jam 9 pagi.

Kesemua 67 pertuduhan itu membabitkan dua laporan polis dibuat kedua-dua mangsa berusia 14 tahun berkenaan.

Terdahulu suspek berpakaian lokap tiba di Kompleks Mahkamah Klang kira-kira jam 9.15 pagi tadi dengan diiringi dua anggota polis.

Suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang untuk dibaca dihadapkan 67 pertuduhan.

Daripada jumlah itu, 58 pertuduhan membabitkan laporan polis oleh anak kandung suspek yang mendakwa dirogol bapanya sebanyak tiga kali seminggu sejak berumur 10 tahun hingga sekarang.

Manakala sembilan pertuduhan lagi membabitkan laporan polis oleh rakan kepada anak suspek yang mendakwa dirogol lelaki itu dari Ogos 2020 hingga Januari 2021, termasuk masing-masing dua kali pada Oktober, November dan Disember lalu.

Anak suspek itu adalah anak kedua daripada lima beradik, manakala seorang lagi pengadu merupakan rakan sekolahnya yang sama-sama bekerja di gerai suspek.

Suspek juga didapati memiliki rekod lampau membabitkan kes jenayah serta dadah, diberkas pada 10 Februari lalu dan kini masih dalam tahanan reman.

Suspek akan didakwa dengan sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan 58 lagi mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

+ posts

1 Komen

Comments are closed.