Home Nasional Peniaga air tebu mengaku tidak bersalah 64 pertuduhan, rogol anak kandung, rakan...

Peniaga air tebu mengaku tidak bersalah 64 pertuduhan, rogol anak kandung, rakan anak

Seorang lelaki berusia 42 tahun dibawa oleh pegawai polis ke Mahkamah Sesyen atas 67 pertuduhan kes merogol anak kandungnya dan rakan mangsa di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 24 FEBRUARI 2021.

KLANG – Seorang peniaga tebu mengaku tidak bersalah atas 64 pertuduhan merogol anak kandung sendiri dan rakan anaknya di rumahnya di Klang Selatan, di sini, antara April 2019 hingga Januari 2021.

Kesemua 64 pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, Khairun dan G. Thenmollly di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Kunasundary Marimuthu.

Mengikut pertuduhan, Saiful Nizam Mohamad Yusof didakwa melakukan perbuatan sumbang mahram terhadap anak perempuannya di rumahnya di sini, antara April 2019 hingga Januari 2021.

Manakala perbuatan merogol rakan anak kandungnya pula dilakukan antara Ogos 2020 hingga Januari 2021.

Daripada 64 pertuduhan, sebanyak 55 pertuduhan atas dakwaan melakukan perbuatan sumbang mahram dan persetubuhan dengan anak kandungnya yang kini berusia 14 tahun.

Manakala sembilan lagi pertuduhan melibatkan dakwaan merogol rakan anaknya yang sebaya umurnya.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya, Nurul Qistini Qamarul Abrar mencadangkan mahkamah agar tidak menawarkan sebarang jaminan kerana jenayah seksual melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Nurul Qistini juga memberi alasan sekiranya jaminan diberikan, dikhuatir akan berlaku kacau ganggu terhadap mangsa kerana remaja berkenaan sebelum ini duduk serumah dengan suspek.

Bagaimanapun Saiful Nizam yang diwakili peguam, Khairul Naim Rafidi meminta jaminan diberikan kepada anak guamnya dengan mengenakan syarat yang ketat.

Menurut Khairul Naim, jaminan perlu diberikan memandangkan anak guamnya perlu menanggung lima anak kandung dan dua anak tiri, di samping bekerja sebagai peniaga air tebu dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

Bagi 55 pertuduhan kesalahan merogol anak kandung, Saiful Nizam disiasat didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan.

Manakala bagi sembilan pertuduhan lagi melibatkan rakan anak kandungnya didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Hukuman diperuntukkan bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan ialah penjara hingga 20 tahun dan hendaklah dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan pula, hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun penjara serta hendaklah juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun Hakim Kunasundary tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap suspek dan menetapkan 24 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette

+ posts