PASIR MAS – Cubaan seorang penyeludup untuk menyeludup sebanyak 834 kilogram (kg) minyak masak, hampir meragut nyawanya sendiri dalam cubaan menyelamatkan diri apabila kereta yang dipandunya terjunam ke dalam sungai berdekatan Kampung Slow Machang di sini, petang semalam.
Difahamkan, lelaki berusia 28 tahun terbabit cuba melarikan diri secara mengundurkan kereta jenis Proton Saga, tetapi gagal mengawal kenderaan sebelum terjunam ke dalam sungai sedalam kira-kira dua meter.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pasir Mas Suhaimi Abas berkata, kejadian terbabit berlaku pada pukul 2.30 petang ketika pihaknya bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, menjalankan Op Benteng di sekitar Pasir Mas.
“Ketika cuba diperiksa pemandu kenderaan bertindak cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan yang dipandunya, mengakibatkan kenderaan tersebut telah terjatuh ke dalam sungai yang berada di belakangnya.
“Lelaki itu bagaimanapun terselamat sebelum ditahan. Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan lebih kurang 834kg minyak masak di dalam kenderaan tersebut yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
— BERNAMA