KUALA LUMPUR – Sebanyak 29 inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NACP) telah selesai pelaksanaan dan telah menghasilkan pencapaian pada peringkat pengeluarannya sehingga 31 Disember lalu.
Namun, kesemua inisiatif itu kini dalam tahap dikaji keberkesanan di peringkat keberhasilannya dan menjadi keutamaan status kemajuan terkini NACP.
Menurut NACP, bermula bulan Mac lepas, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) telah melaksanakan Semakan Separuh Penggal NACP agar bersesuaian dengan dasar semasa kerajaan.
“Sebanyak 24 ketua agensi peneraju bagi 115 inisiatif telah membuat analisis dan kajian di peringkat dasar dan strategi dalam proses semakan separuh penggal ini.
“Selain itu, laporan semakan separuh penggal NACP akan dijangka keluar pada penggal pertama tahun 2021 di mana laporan ini akan menggariskan inisiatif-inisiatif baharu untuk pelaksanaan seiring dengan konsep bahawa NACP adalah sebuah dokumen yang tidak akan luput,” menurut kenyataan NACP hari ini.
Laporan ke atas kemajuan NACP dari semasa ke semasa akan dibuat melalui kenyataan rasmi bertulis yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat GIACC.
“Manakala, hebahan berkaitan kemajuan insiatif-inisiatif NACP yang dilaksanakan oleh kementerian atau agensi akan dilaksanakan oleh Ketua Agensi Peneraju berkenaan dari semasa ke semasa bagi memberi makluman yang lebih jelas,” kata kenyataan yang sama.
Seterusnya, laporan kemajuan NACP bagi tahun 2019 yang telah dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri 13, Bil.3, tahun 2020 juga akan dimuatnaik di laman web rasmi GIACC untuk pemakluman umum. -MalaysiaGazette