KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah bertitah, ia boleh dilakukan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini, YDPA bertitah perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.
“Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, YDPA bertitah demikian semasa berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar
Azizan Harun di Istana Negara hari ini.
“Dalam sesi menghadap ini, Seri Paduka Baginda telah menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara
sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut,” kata Ahmad Fadil.
Menurutnya, perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat
Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini.
“Dalam sesi menghadap hari ini, Seri Paduka Baginda juga mengambil maklum atas hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tataperlakuan AhliAhli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab
berbahas dan bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi,” katanya.
Berhubung dengan perkembangan terkini wabak Covid-19, Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi
dan Inovasi serta agensi-agensi kerajaan yang berkait di atas usaha merealisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula pada hari ini dan dijangka mengambil masa sehingga beberapa bulan.
Seri Paduka Baginda juga menzahirkan setinggi penghargaan kepada para wira dan wirawati petugas barisan hadapan di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memerangi wabak yang sama.
“Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga negara ini sentiasa dilindungi dan bebas dari wabak ini dengan segera,” kata Ahmad Fadil.- MalaysiaGazette