
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hostel Centennial, Kampung Acheh, Setiawan, Perak bermula esok hingga 10 Mac ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni asrama serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.
“KKM hari ini telah melaporkan situasi kes Covid-19 di Hostel Centennial dan sehingga 21 Februari lalu, KKM telah melaksanakan sebanyak 349 ujian saringan dan daripada jumlah itu 125 orang didapati positif Covid-19.
“KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri menambah, sehingga semalam, seramai 15,997 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, seramai 37 orang didapati positif.
Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 474,916 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan yang melibatkan 24,050 majikan.
“Daripada jumlah ini, seramai 15,960 orang telah disahkan positif Covid-19 manakala 466,675 lagi adalah negatif. Sehingga kini, sebanyak 1,476 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini.
“Seperti yang telah diumumkan, ujian saringan Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu,” katanya. – MalaysiaGazette