KUALA LUMPUR – Karnival Penjana Kerjaya Kebangsaan 2021 anjuran Kementerian Sumber Manusia yang diadakan secara dalam talian menawarkan 10,802 kekosongan jawatan.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan memaklumkan setakat semalam, seramai 12,303 peserta telah membuat pendaftaran awal sejak sesi temu duga terbuka dibuka kepada orang ramai pada 18 Feb lepas.
“Daripada jumlah tersebut, 3,701 adalah graduan baharu, 5,427 individu tidak bekerja manakala 110 calon daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU),” menurut kenyataan itu.
Menurut Perkeso, majoriti peserta yang mendaftar adalah belia dalam kumpulan umur lingkungan 22 hingga 25 tahun iaitu seramai 4,585 orang.
Kenyataan itu juga menyebut peluang pekerjaan tertinggi ditawarkan sektor pemborongan dan peruncitan dengan 3,010 kekosongan jawatan diikuti sektor pembuatan (2,438), sektor perkhidmatan lain (2,286) serta sektor kesihatan awam dan sosial (1,046).
“Peluang pekerjaan yang ditawarkan ini meliputi 3,492 jawatan eksekutif dan 6,910 jawatan bukan eksekutif selain sebanyak 1,896 jawatan kosong juga disediakan buat golongan OKU.
“Antara jawatan yang ditawarkan oleh majikan yang menyertai program ini adalah jurutera, pengurus jualan, peguam, juruteknik, eksekutif pemasaran, penyelia perusahaan, pembantu audit dan tukang masak,” menurut kenyataan itu.
Perkeso turut menyeru rakyat Malaysia yang sedang mencari pekerjaan atau meneroka peluang lain untuk menyertai karnival tersebut dengan mendaftar di http://careerfair.perkeso.gov.my.
Pencari kerja juga diminta agar segera mendaftar di Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara iaitu MYFutureJobs di https://www.myfuturejobs.gov.my di mana terdapat lebih 150,000 kekosongan jawatan aktif untuk dipohon selain menerima bantuan padanan carian pekerjaan.
— BERNAMA