Home Pendapat Penderaan kanak-kanak semakin kritikal

Penderaan kanak-kanak semakin kritikal

Kerajaan harus proaktif meminda Akta Kanak-Kanak berhubung dengan hukuman penderaan kanak-kanak,kaedah pemulihan kanak-kanak daripada kes jenayah dan penderaan.- Gambar hiasan.

DIANGGARKAN lebih 4,000 kes penderaan kanak-kanak dicatatkan sehingga Januari tahun ini walaupun angka ini masih menurun jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Namun ia masih menunjukkan kes penderaan muncul sebagai masalah sosial yang kritikal sepanjang Perintah Kawalan Pergerak (PKP) buat masa ini.

Masalah ini boleh dianggap sebagai cabaran kepada kebertanggungjawaban dan kesanggupan kerajaan serta masyarakat untuk prihatin terhadap nasib masa depan kanak-kanak di negara ini yang bukan sahaja untuk membangunkan suasana kesejahteraan kepada golongan itu.

Ini kerana ia tidak terbatas kepada memenuhi keperluan asas merekatetapi memastikan bahawa keselamatan kanak-kanak dapat dipelihara dengan sistematik dan berkesan.

Seharusnya dalam dekad yang menyaksikan kepantasan maklumat dan kemajuan pesat yang bersandarkan sains dan teknologi, aspek-asperk penderaan ke atas kanak-kanak tidak seharusnya wujud.

Masyarakat terutamanya ibu bapa dan penjaga kanak-kanak seharusnya terdedah dengan pengawalseliaan kendiri pengurusan keluarga yang menekankan kepada aspek kerohanian, keintelektualan dan menghargai kasih sayang sesama anggota.

Status ibu bapa dan penjaga kanak-kanak dari segi masalah berkaitan keluarga yang membawa kepada ancaman kepada kesihatan mental haruslah dielakkan, terkawal dan ditangani dengan baik tanpa mempengaruhi golongan ahli keluarga terutamanya kanak-kanak.

Tambahan pula, sepanjang PKP ini menyaksikan banyak keluarga terkesan disebabkan kehilangan mata pencarian,ketidakstabilan ekonomi keluarga, membawa kepada masalah kemurungan dan masalah mental dalam kalangan golongan ini.

Tanpa bimbingan terpimpin dan berterusan, akhirnya golongan ini akan terjelumus dalam kancah jenayah penderaan,penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak. Golongan ini akhirnya menjadi mangsa keadaan, terpaksa menghadapi pelbagai masalah ini dengan paksaan, tanpa perlindungan yang akhirnya mengakibatkan mereka juga dilanda tekanan jiwa dan mental.

Di antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk membasmi masalah penderaan atau kemurungan kanak-kanak ini terutamanya dalam tempoh PKP ini adalah seperti:

1. Memperkasakan khidmat kesihatan mental yang berkaitan dengan komuniti dan sekolah

2. Memperkasakan program-program berasaskan pendidikan mebghindarkan jenayah deraan kanak-kanak

3. Kerajaan dan NGO harus bekerjasama memfokuskan program-program proaktif dan preventif jenayah deraan, eksploitasi, pemisahan atau pengabaian kanak-kanak

4. Pihak sekolah dan guru bersikap proaktif mengambil tahu dan prihatin terhadap aspek masalah kegiatan mental dalam kalangan kanak-kanak sekolah menerusi kaunseling atas talian atau bersemuka, berkongsi pemikiran dan pandangan untuk membantu mengelakkkan kemurungan dalam kalangan kanak-kanak

5. Membangunkan suatu mekanisma penyaluran maklumat berkesan dalam kalangan komuniti bagi memastikan kes-kes penderaan kanak-kanak dapat ditangani dengan pantas dan berkesan.

Saya menyambut baik cadangan kerajaan untuk mengemaskinikan peranan pegawai pelindung kanak-kanak yang diberikan kuasa untuk mengendalikan kes-kes berhubung kebajikan dan keselamatan kanak2 termasuklah memberikan kefahaman menyeluruh kepada para penjaga kanak-kank dan komuniti perihal kebajikan dan kesejahteraan golongan itu.

Perlu ada peningkatan jumlah pegawai pelindung kanak-kanak yang terlatih bagi memenuhi populasi penduduk yang makin bertambah dan bebanan keprihatinan penjagaan perlindungan kanak-kanak.

Kepakaran pengendalian kebajikan dan perlindungan kanak-kanak amat diperlukan bagi meningkatkan penguatkuasaan sistem perlindungan golongan iu.

Kerajaan harus proaktif meminda Akta Kanak-Kanak berhubung dengan hukuman penderaan kanak-kanak,kaedah pemulihan kanak-kanak daripada kes jenayah dan penderaan.

Kes-kes penganiayaan seksual ke atas kanak-kanak atau menjadikan kanak-kanak sebagai pekerja murahan haruslah dibenteras dan perlindungan terhadap golongan itu harus diberi keutamaan yang tinggi.

Justeru, strategi untuk memperhebatkan pendedahan pendidikan jenayah penderaan kanak-kanak di sekolah dan kalangan ibu bapa dan komuniti harus dilaksanakan secara menyeluruh, sistematik dan bertetlrusan supaya kes-kes jenayah ini dibendung dan dapat perhatian sepenuhnya daripada komuniti.- MalaysiaGazette

Dr. Syed Agil Syed Alsagoff adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia merangkap penganalisis politik.