Home Politik Tiada lagi alasan untuk sekat sidang Dewan Rakyat – Pejuang

Tiada lagi alasan untuk sekat sidang Dewan Rakyat – Pejuang

Kelima-lima ahli Parlimen Pejuang yang telah menghantar usul undi tidak percaya tersebut kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah Ahli Parlimen Langkawi, Ahli Parlimen Jerlun, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Ahli Parlimen Kubang Pasu dan Ahli Parlimen Seri Gading.

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah agar Parlimen dibenarkan bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.

Lima pemimpin parti itu hari ini berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tidak mempunyai alasan untuk menangguhkan persidangan Dewan Rakyat yang terhenti tahun lalu.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada alasan lagi untuk tidak memastikan sidang Parlimen diadakan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Di samping itu, kami juga bersependapat dengan pandangan bahawa, DYMM YDPA tidak perlu mendapat nasihat daripada Perdana Menteri untuk memanggil sidang Parlimen kerana kuasa itu terletak di tangan Seri Paduka Baginda semasa negara dalam tempoh darurat,” kata Pejuang dalam satu kenyataan hari ini.

Lima pemimpin Pejuang itu adalah Ahli Parlimen Langkawi yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Dewan Negara, Datuk Marzuki Yahya; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shaharuddin Md Salleh.

Dalam pada itu, Pejuang berkata, sidang Dewan Rakyat perlu terus berjalan bagi membahaskan isu Covid-19, vaksinasi, pendidikan anak-anak serta langkah untuk mengelakkan pilihan raya diadakan dalam tempoh pandemik.

“Kami berharap persidangan Parlimen kali ini dapat dijalankan sepenuhnya dan bukannya persidangan sehari seperti yang dilakukan pada 18 Mei tahun lalu. Persidangan ini perlu mengikut takwim asal tanpa memendekkan sesi persidangan.

“Ini amat penting memandangkan bukan sahaja keabsahan Perdana Menteri dipertikai malah masalah ekonomi, pandemik Covid-19 dan pentadbiran yang kucar-kacir telah mengakibatkan kesusahan dan keresahan di kalangan rakyat,” kata mereka lagi.

Menurut takwim Parlimen, sidang Dewan Rakyat bagi Parlimen Keempat Belas 2021 Penggal Keempat akan diadakan pada 8 Mac depan sehingga 8 April selama 20 hari bagi mesyuarat pertama tahun ini.

Mesyuarat kedua pula dijadualkan pada 14 Jun sehingga 1 Julai selama 12 hari dan mesyuarat ketiga pada 4 Oktober hingga 8 Disember selama 36 hari. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat – YDPA