Home Utama Covid-19: Kes baharu turun 1,924, sembuh meningkat 3,752

Covid-19: Kes baharu turun 1,924, sembuh meningkat 3,752

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali kes baharu Covid-19 harian menurun bawah paras 2,000 iaitu 1,924 kes pada hari ini semenjak Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP) dilaksanakan sejak 13 Januari lalu.

Ia sekaligus menjadikan jumlah  setakat ini adalah 293,698 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Malah, angka sembuh harian Covid-19 juga terus bertambah iaitu 3,752 kes dan jumlah keseluruhan kes sembuh setakat ini adalah berjumlah 263,761.

Menurut Noor Hisham, daripada jumlah kes baharu harian itu, enam adalah kes import yang mana empat daripadanya melibatkan warga asing.

“Kes tempatan pula membabitkan 1,918 kes yang mana 375 orang daripadanya 375 warga asing,” katanya.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 666 kes (34.6 peratus) dan daripada jumlah berkenaan 527 kes (79.1 peratus) adalah daripada kluster- kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Ini diikuti oleh Johor sebanyak 257 kes (13.4 peratus) dan Sarawak sebanyak 219 kes (11.4 peratus).

Tambah Noor Hisham, sebanyak 105 kes (5.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (41 kes), Kluster Damai Pelangi (32 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (15 kes), Kluster Tembok Bendera (13 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), dan Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes).

Menurut beliau, jumlah kes aktif yang dilaporkan adalah sebanyak 28,837 kes manakala sebanyak 205 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi dan 91 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Sejak penguatkuasaan Ordinan Darurat pada 11 Januari lalu, Malaysia telah menunjukkan tren penurunan kes harian baharu secara konsisten.- MalaysiaGazette