KUALA LUMPUR – Berdasarkan dapatan Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Tahun Pertama 2021, peniaga lebih berhati-hati pada suku tahun pertama 2021 dengan mencatatkan -11.3 peratus berbanding -10.8 peratus pada suku tahun lalu.
Jangkaan ini dipengaruhi oleh peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 yang mendorong kepada pelaksanaan semua Kawalan Perintah Pergerakan di seluruh negara kecuali Sarawak dengan prosedur operasi standard yang lebih ketat pada pertengahan Januari 2021.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, empat sektor diliputi di dalam survei ini dan di antara kesemua sektor tersebut, sektor industri merupakan sektor utama yang menunjukkan isyarat pemulihan.
Namun masih dalam sentimen pesimis dengan petunjuk keyakinan -4.4 peratus pada suku tahun rujukan berbanding -7.5 peratus pada suku tahun keempat 2020.
Penambahbaikan bagi sektor industri ini disumbangkan oleh jangkaan yang lebih baik daripada subsektor pertanian dan perlombongan dengan petunjuk keyakinan masing-masing -6.4 peratus dan -24.7 peratus berbanding -24.1 peratus dan
-40.9 peratus pada suku tahun lalu.
Salah satu faktor yang menyumbang kepada pemulihan subsektor pertanian adalah perspektif positif terhadap harga minyak sawit mentah yang dijangka meningkat pada tahun ini.
Sementara itu, keyakinan perniagaan yang lebih rendah oleh sektor perkhidmatan, perdagangan borong & runcit dan pembinaan dijangkakan pada suku tahun pertama 2021.
Sektor perkhidmatan dan perdagangan borong dan runcit mencatatkan petunjuk keyakinan iaitu masing-masing -15.0 peratus dan -11.8 peratus.
Manakala, sektor pembinaan kekal kurang memberangsangkan dengan -51.2 peratus pada suku tahun ini berbanding -39.1 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Merujuk kepada hasil kasar, 25.5 peratus responden menjangkakan hasil kasar mereka meningkat pada suku tahun pertama 2021 manakala 36.5 peratus meramalkan penurunan.
Perbezaan ini mendorong kepada imbangan bersih -10.9 peratus.
Dalam masa yang sama, 75.9 peratus pertubuhan meramalkan bilangan pekerja mereka kekal sama walaupun imbangan bersih -7.3 peratus selari dengan itu, 8.4 peratus pertubuhan berhasrat untuk menambah tenaga kerja, manakala 15.7 peratus pertubuhan pengurangan tenaga kerja pada suku tahun pertama 2021.
Bagi tempoh separuh tahun pertama 2021, peniaga menunjukkan prospek perniagaan yang menyederhana dengan imbangan bersih keseluruhan -4.6 peratus berbanding -3.7 peratus yang direkodkan sebelum ini.
Sektor industri kekal optimis terhadap prestasi perniagaan dengan imbangan bersih +4.3 peratus bagi tempoh Januari sehingga Jun 2021.
Sektor pembinaan dan perdagangan borong dan runcit turut meramalkan tinjauan perniagaan yang lebih baik walaupun masih dalam wilayah negatif bagi enam bulan yang akan datang dengan imbangan bersih, masing-masing -34.6 peratus dan -7.7 peratus berbanding -50.0 peratus dan -29.3 peratus yang dicatatkan bagi tempoh Oktober 2020 hingga Mac 2021.
Sektor perkhidmatan juga menjangkakan prestasi perniagaan yang mencabar pada enam bulan ke hadapan dengan imbangan bersih -11.7 peratus berbanding dengan -9.1 peratus bagi tempoh Oktober 2020 hingga Mac 2021. – MalaysiaGazette