PUTRAJAYA – Prihatin dengan nasib serta keluh kesah pengusaha katering yang tidak dapat beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tampil membantu.
Menurut Timbalan Menteri KPDHEP, Datuk Rosol Wahid, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi kebenaran dan kelonggaran supaya majlis perkahwinan dalam skala kecil dapat diadakan.
“Kita banyak terima aduan, permohonan dari pengusaha katering yang tidak beroperasi ketika PKP dan PKPB ini.
“Sehingga kini pengusaha katering terutama yang banyak mengendalikan majlis perkahwinan, jamuan awam serta keraian terjejas pendapatan dan terpaksa menutup perniagaan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
“Walaupun majlis keraian sosial dan keramaian tidak dapat diadakan dalam tempoh PKP dan PKPB bagi memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan Covid-19 berjaya, kementerian melihat masih ada ruang untuk pengusaha katering dibenarkan beroperasi.
“Oleh yang demikian, kita ambil pendekatan untuk memohon kepada MKN dalam masa terdekat ini untuk beri kebenaran, kelonggaran bagi pengusaha ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Kata beliau lagi, antara lain cadangan kebenaran untuk mengadakan majlis perkahwinan dengan had kapasiti serendah 250 orang di lokasi awam seperti dewan sesuai yang dapat memastikan aspek pematuhan SOP (prosedur operasi standard) ketat.
“Garis panduan seperti penjarakan sosial, pemakaian topeng pelitup muka, penggunaan cecair sanitasi tangan, pemeriksaan suhu badan, pendaftaran kehadiran ke majlis dan lain-lain ketetapan terkini oleh MKN tidak diabaikan jika kebenaran ini diberikan.
“Ini akan membuka peluang perniagaan kepada pengusaha katering untuk kembali menjana pendapatan.
“Bagaimanapun, kementerian melihat kebenaran mengadakan majlis perkahwinan di rumah masih memerlukan kajian terperinci berikutan kesukaran untuk memastikan perjalanan majlis mematuhi pelaksanaan SOP yang ketat,” ujarnya.
Difahamkan lebih 20,000 pengusaha katering di seluruh negara dan sebahagian besar daripadanya terkesan kerana terpaksa berdepan dengan pembatalan majlis perkahwinan dan keraian oleh pelanggan.
Malah golongan ini juga tidak menerima sebarang tempahan untuk majlis seumpamanya sebagaimana biasa sepanjang tempoh PKP dan PKPB.
Dalam pada itu, kata Rosol berkata, pihaknya yakin sekiranya kebenaran mengadakan majlis perkahwinan dengan had kapasiti 250 orang di dewan yang sesuai, ia bukan sahaja dapat membantu pengusaha katering selepas perniagaan terjejas dalam tempoh panjang.
Sebaliknya, kebenaran ini dapat mengelakkan masalah kehilangan pekerjaan serta kerugian dan penutupan perniagaan.
“Kementerian juga menerima jaminan daripada pengusaha katering untuk memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi SOP ketat bagi mengelakkan risiko penularan Covid-19.
“Sebenarnya ini juga akan menjayakan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan pandemik ini sering dengan pemulihan ekonomi dan sektor perniagaan di negara ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette
Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Serah Memorandum Kepada Pejabat Perdana Menteri